“Sekotak susu dapat 15 cup” Wanita Ini Kongsi Resepi Dadih Susu Yang Mudah, Sedap dan Jimat

Dadih merupakan makanan tradisional yang dikatakan berasal dari Minangkabau. Dadih dibuat daripada susu lembut sama seperti yoghurt yang diperam dalam bekas buluh (atau sebarang bekas) yang tertutup (atau ditutup dengan daun pisang).

Dadih sering kali dimakan untuk sarapan pagi, kadangkala dimakan dengan emping beras dan gula jawa. Dadih sangat enak dimakan pada musim panas ini bagi menyegarkan tekak kita.

Biasanya, dadih dibuat dengan berperisa buah-buahan. Antara perisanya, ialah keladi, jagung, strawberi, kelapa, dan lain-lain.

Malah, ada juga dadih yang dibuat daripada vanila, milo, dan coklat. Kadang-kala, terdapat juga sos buah-buahan yang dihidang bersama dadih untuk memberi rasa yang sedap.

Sebenarnya terdapat banyak cara untuk menyediakan dadih dan di antara ramuan-ramuan yang penting untuk membuat dadih ialah:

  • Air
  • Susu segar (susu lembu)
  • Gula
  • Garam
  • Serbuk agar-agar

Manakala, perisa dadih adalah pelbagai, bergantung kepada kemahuan dan kehendak. Contoh-contoh perisa dadih ialah:

Perisa buah-buahan

  • Jagung
  • Kelapa

Perisa yang sudah diproses

  • Milo
  • Coklat

Di dalam satu perkongsian di facebook, Puan Niswah Hasina telah berkongsi resepi dadih susu yang sangat mudah dan sedap.

Malah resepinya terbukti jimat kerana dapat menghasilkan 15 cawan dadih dengan hanya 1 liter susu kotak.

Mari kita ikuti perkongsian resepi dadih beliau:

CARA-CARA MEMBUAT DADIH

1. MASAK AGAR-AGAR

Mula-mula sekali, ambil 1/3 daripada agar-agar tali yang dalam paket tu. Yang lagi 2/3 simpan. Lain kali nak buat boleh guna lagi.

Masukkan agar-agar tali tu ke dalam periuk. Kemudian masukkan 1 liter air bagi ia tenggelam.

Buka api dapur dan masak hingga agar-agar tali tu larut.

2. MASUKKAN SUSU, GULA & GARAM

Apabila agar-agar dah larut, masukkan susu kotak tu semua sekali. Kemudian perasakan gula dan garam secukupnya.

Kalau nak dapat tekstur cantik, tak payah tunggu mendidih. Cukup bagi panas je sampai naik wap panas.

*Sebab tu dekat atas tu tadi tulis 1 liter air tapis atau air yang dah dimasak. Jadi tak payah nak tunggu mendidih.

3. TAPIS & SEJUKKAN

Lepas tu biar sejuk sikit dan bolehlah ditapis sebelum dimasukkan ke dalam bekas.

Dengan menggunakan 1/3 agar-agar tali dan 1 kotak susu seliter ni, dapatlah lebih kurang 15 cup.

4. BUBUH DALAM BEKAS & SEJUKKAN

Akhir sekali, tuang dalam bekas satu-satu.

Tunggu dia keras sikit dan bolehlah simpan dalam peti sejuk. Siap!

Boleh goyang2 dadih tu. Baru cair dlm mulut. Resepi dadih susu ni kiranya perisa yang paling basic. Kalau nak ganti dengan susu coklat atau strawberi pun boleh. Kalau dah manis tak payah bubuh gula dah.

Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada anda semua dan selamat mencuba!