Nak Resepi Kulit Karipap Yang SEDAP Dan Kekal RANGUP Hingga Ke Malam, Ibu Muda Ini Kongsi Rahsia Mudah

Sebut sahaja karipap semua rakyat Malaysia mula tersenyum mengingati betapa enaknya kuih karipap yang sentiasa menjadi kegemaran orang ramai.

Datang dengan pelbagai inti, kuih karipap terbahagi kepada beberapa jenis bergantung kepada inti yang dihasilkan oleh peniaga. Ada yang menggemari karipap kentang, karipap inti sardin, karipap serunding dan sebagainya.

Karipap mudah didapati samada ketika waktu pagi yang dijadikan sarapan, waktu petang turut dijadikan kuih ketika makan petang dan ia turut  dijadikan kuih di majlis-majlis keramaian.

Hadir berbagai jenis inti dan kulit, karipap pusing antara kulit karipap yang garing dan cantik. Penghasilan doh untuk kulit karipap juga penting kerana ia mempengaruhi keseluruhan karipap itu.

Jika karipap itu berinti sardin yang sedap tetapi kulit karipap tidak rangup, ia juga secara tidak langsung mempengaruhi keseluruhan karipap tadi. Alangkah sedapnya jika karipap itu datang dengan kulit yang rangup dan inti yang sedap.

Anda boleh cuba perkongsian dari saudari Alin Danial. Menurut beliau, resepi karipap ini adalah antara yang menjadi kegemaran kawan-kawan serta pelanggan setia beliau.

CARA-CARA BUAT DOH KARIPAP RANGUP

BAHAN-BAHAN:

  • 1kg tepung gandum
  • 1 cawan minyak masak + 2 sudu makan planta (dipanaskan)
  • 2 sudu makan air kapur
  • 1 1/2 sudu teh garam
  • 1 1/2 sudu makan gula
  • 350ml air sejuk (letak seketul ais)
  • Sedikit daun sup cincang (optional)

Cara-cara memasak karipap yang rangup dan sedap:

1. Satukan tepung gandum, gula, garam dan daun sup cincang.

2. Kemudian masukkan minyak, planta yang dah dipanaskan dan juga air kapur.

3. Kacau bahan-bahan tadi menggunakan senduk. Setelah sedikit sejuk, barulah diramas dengan tangan hingga mendapat tekstur seperti serbuk roti.

4. Seterusnya masukkan air dan uli.

5. Masukkan doh ke dalam plastik dan ramas-ramas tepung dalam 10-15 minit. Perap doh dalam peti sejuk selama 3-4 jam.

6. Kemudian bolehlah dicanai dan diisi inti kegemaran masing-masing. Selepas itu, bolehlah bentukkan seperti karipap samada anda melakukannya sendiri atau menggunakan acuan.

7. Selepas itu, bolehlah anda mula menggoreng karipap tadi.

Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada semua pembaca. Anda boleh cuba resepi karipap rangup dan sedap ini. Selamat mencuba!