Pukul Sampai Gegendang Telinga Pecah, Pelajar Sekolah Dibuli Senior

Kegiatan buli dalam kalangan pelajar sekolah semakin serius kebelakangan ini. Oleh itu, pihak yang berwajib perlu memainkan peranan masing-masing dalam membanteras kegiatan tersebut.

Memetik laporan Harian Metro, seorang pelajar sekolah didapati telah dipukul oleh pelajar senior sehingga gegendang telinganya pecah.

Difahamkan, tiga orang pelajar lelaki di salah sebuah sekolah menengah kebangsaan bertempat di Bandar Kemaman telah mendakwa bahawa diri mereka telah dibuli oleh sekumpulan pelajar senior pada 23 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan menyatakan bahawa ketiga-tiga mangsa telah membuat laporan polis pada 27 Ogos.

Berdasarkan kenyataan beliau, laporan pertama telah dibuat oleh seorang pelajar berusia 14 tahun dengan mendakwa bahawa dirinya telah dipukul oleh sekumpulan pelajar sehingga memberi kesan pada gegendang telinga sebelah kanannya pecah dan badannya lebam.

“Pada tarikh sama, dua lagi pelajar berusia 13 dan 15 tahun hadir ke Balai Polis Chukai turut membuat aduan mereka dipukul sehingga lebam di badan.

“Kesemua mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kemaman untuk rawatan dan dirawat sebagai pesakit luar,” jelas beliau.

Menurut beliau, kejadian itu telah berlaku disebabkan perasaan tidak puas hati pelajar senior berkenaan selepas mangsa dikatakan mengadu kegiatan menghisap ‘vape’ mereka kepada guru.

“Sehingga jam 3.30 petang ini, seramai 11 pelajar berusia antara 13 hingga 16 tahun yang tinggal di sekitar Bandar Chukai ditahan.

“Kesemua mereka yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah,” jelas beliau berhubung dengan isu tersebut.

Hanyan turut berharap agar pihak pengurusan sekolah boleh memantau dan mengawasi kegiatan buli dan pukul dalam kalangan pelajar sekolah lebih ketat agar insiden tersebut tidak akan berulang kembali.

“Kita juga berharap pihak sekolah segera melaporkan kepada polis sebaik berlaku sesuatu kejadian buli sebegini,” terang Hanyan.

Sekadar info, terdapat 69 aduan kes buli di sekolah diterima melalui portal aduan buli di mana yang memperlihatkan berlakunya peningkatan kegiatan buli ini walaupun portal Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPA) baru sahaja dilancarkan seminggu lalu.