Dadah Lebih RM10 Juta Dirampas, Siap Sorok Dalam Bungkusan Teh

Kes yang melibatkan penjualan dan penyalahgunaan dadah semakin meningkat tahun demi tahun di seluruh negara. Oleh hal demikian, pihak yang bertanggungjawab harus berusaha sedaya upaya untuk membanteras kegiatan ini daripada terus berleluasa.

Memetik laporan Kosmo, sebanyak 363.03 kilogram (kg) dadah dipercayai jenis methamphetamine yang dianggarkan bernilai RM 10.89 juta telah dijumpai dan berjaya dirampas.

Rampasan tersebut telah dibuat pada 20 Ogos yang lalu melalui suatu serbuan yang telah dijalankan di Kampung Baru Ampang.

Berdasarkan serbuan yang telah dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, dua suspek telah ditahan iaitu lelaki tempatan masing-masing berusia 23 dan 51 tahun.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed menyatakan bahawa menerusi serbuan pada jam 5.20 petang itu, pasukan JSJN telah menahan seorang lelaki berusia 23 tahun di premis tersebut.

Menurut beliau, 349 bungkusan teh Cina berwarna kekuningan yang mengandungi bahan disyaki methamphetamine turut ditemukan di dalam pacuan empat roda yang diparkir di hadapan lokasi tersebut.

“Lanjutan daripada tangkapan dan rampasan berkenaan, seorang lagi lelaki berusia 51 tahun ditahan di lokasi berhampiran,” jelas beliau berhubung dengan kes berkenaan.

Arjunaidi memaklumkan juga bahawa suspek yang berusia 23 tahun itu dijadikan sebagai ‘transporter’ manakala seorang lagi suspek bertindak sebagai pemantau.

Difahamkan, siasatan awal mendapati dadah itu telah diambil dari lokasi lain dan telah ditempatkan sementara dalam kenderaan tersebut sebelum diedarkan.

“Semakan mendapati hanya seorang suspek mempunyai rekod lampau berkait jenayah dan saringan awal air kencing juga mendapati kedua-duanya negatif dadah.

“Polis masih giat mengesan dalang sindiket ini manakala dua suspek berkenaan direman sehingga 2 September,” terang beliau.

Tambah Arjunaidi, kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sekadar info, dadah methamphetamine atau syabu ini sebenarnya dahulu banyak digunakan untuk merawat penyakit seperti penyakit narcolepsy, asma dan ubat untuk turun berat badan.

Selain daripada itu, syabu turut digunakan ketika Perang Dunia Kedua di mana kedua-dua pakatan Allies dan Axis ini memberikan syabu kepada tentera mereka supaya sentiasa segar dan berjaga.

Namun begitu, penggunaan syabu ini semakin meluas dan disalahgunakan sehingga akhirnya penggunaan syabu diharamkan di Amerika Syarikat pada tahun 1970.