Roti Gardenia Naik Harga, Akan Bermula 1 September

Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd merupakan antara syarikat pengeluar roti terbesar di Semenanjung Malaysia. Dikenali dengan pelbagai pilihan roti yang boleh dijadikan sebagai kudapan harian dan mampu milik.

Walau bagaimanapun, baru-baru ini syarikat pengeluar roti tersebut telah mengumumkan mengenai kenaikan harga produknya bermula 1 September ini.

Difahamkan, senarai harga baharu untuk 53 produk yang dihasilkan oleh Gardenia telah dikeluarkan.

Antara produknya yang mengalami kenaikan harga ialah roti Gardenia Original Classic 400 gram (g), dahulunya berharga RM 2.80 kini naik 20 sen menjadi RM 3.

Roti Gardenia Original Classic Jumbo pula pada asalnya berharga RM 4 sekarang naik 30 sen menjadi RM 4.30 untuk harga terkini.

Dalam pada itu, roti Breakthru Bran & Wheatgerm (400g) dahulu berharga hanya RM 2.90 kini menaik kepada RM 3.50.

“Pelarasan harga roti putih Gardenia Original Classic ialah sebanyak tujuh peratus atau 20 sen, berbanding kenaikan harga tepung berprotein tinggi sebanyak 25 peratus.

“Bagaimanapun, roti Gardenia Bonanza Keluarga masih dikekalkan pada harga RM2.75 sebuku, harga mampu milik untuk roti putih dengan berat 500 gram,” terangnya.

Selain roti, produk Gardenia lain turut mengalami kenaikan harga barang iaitu rangkaian ban, roti krim, mufin dan mi kuning.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd, syarikat itu tidak mempunyai pilihan lain selain menyemak semula harga produk mereka kerana faktor kenaikan harga barang mentah.

Syarikat itu juga memaklumkan bahawa ini termasuk kos pengangkutan yang mendadak dalam beberapa tahun sebelumnya yang sangat ketara dan syarikat tersebut juga telah menerima kenaikan kos berkenaan.

“Kami ingin meyakinkan anda bahawa perubahan semula harga produk-produk kami akan menjadi pilihan terakhir setelah berusaha sedaya upaya melalui pelbagai cara bagi mencapai kecekapan dan produktiviti.

“Melihatkan keadaan tersebut, kami tidak mempunyai pilihan lain selain menyemak semula harga hanya pada produk-produk yang terjejas.

“Sudah menjadi polisi kami untuk memberikan yang terbaik kepada pengguna kami dan yakinlah bahawa kami akan terus melakukannya,” jelasnya.

Dikatakan, perubahan harga itu meningkat dalam tempoh kurang setahun selepas dilaporkan kenaikan harga produknya yang bermula pada 1 Disember 2021.