Polis Tahu Anda Buka Laman Porno!

Laporan hari ini mendedahkan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini mempunyai alat pemantauan Internet yang dapat mengenal pasti pengguna yang melayari laman web lucah di negara ini. Alat ini berada di bawah bidang kuasa Unit Siasatan Jenayah Siber (Internet) Terhadap Kanak-kanak Malaysia (MICAC).

Dilancarkan pada bulan Februari, salah satu objektif utama MICAC adalah untuk mengesan eksploitasi seksual kanak-kanak terutamanya atas talian. Selain daripada menggunakan teknologi ini, unit ini juga mendapatkan maklumat daripada agensi-agensi berkaitan tempatan dan antarabangsa.

Alat yang dipanggil Internet Crime Against Children – Child Protection Service Online (ICACCOPS) telah dibangunkan di Amerika Syarikat, menurut laporan itu. Di antara data yang dapat dikumpul oleh alat ini termasuk alamat IP, lokasi, butiran laman web, dan tempoh masa yang digunakan oleh pengguna di laman web.

Laporan selanjutnya menyatakan bahawa PDRM telah membina pangkalan data menggunakan maklumat yang disediakan oleh alat tersebut. Ia kemudiannya akan diserahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya PDRM dapat memperoleh maklumat pengguna sebelum ia meneruskan tindakan selanjutnya.

Walaubagaimanapun, teknologi ini dikatakan adalah terhad untuk mengesan fail-fail yang dikongsi pada rangkaian peer to peer (P2P) sahaja.

Sumber: Lowyat