Tiada Unsur Gangsterisme, Kes Pelajar MRSM Dibuat ‘Khianat’ Masih Dalam Siasatan Polis

Gejala buli atau gangsterisme boleh diklasifikasikan sebagai masalah yang meliputi kegiatan seperti peras ugut, menghina, memukul mangsa dan seumpamanya. Tidak dinafikan kes buli ini semakin meningkat terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah.

Beberapa hari lepas tular di media sosial kes yang melibatkan pelajar sekolah di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuantan, Pahang.

Menerusi perkongsian tular itu, seorang individu yang mendakwa anaknya menjadi mangsa buli di institusi pendidikan tersebut.

Melalui hantaran yang telah dibuat, individu tersebut memuat naik kenyataan dan kronologi kes berkaitan perkara yang berlaku kepada anaknya itu.

Dia juga bertindak memuat naik gambar-gambar berupa bukti bahawa anaknya itu ‘dibuat khianat’ oleh pelajar sekolah tersebut, misalnya tulisan-tulisan di permukaan objek yang ditulis secara tidak kemas.


Selain daripada itu, kejadian aneh lain turut dirakam seperti kasut dan selipar disusun dengan susunan misteri di tepi pintu.

Bukan itu sahaja, pakaian mangsa turut digantung setelah digunting.

Ibu mangsa juga mendakwa bahawa rambut anaknya itu dipotong ketika dia sedang tidur.

Walau bagaimanapun, terkini media tempatan melaporkan bahawa kes tersebut tiada melibatkan unsur gangsterisme.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Mohd Zahari Bin Wan Busu menyatakan bahawa pihaknya telah mengesan hantaran yang telah dimuat naik tersebut.

“Berkenaan isu ini, pihak polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan telah menerima laporan polis dari pihak sekolah dan ibu mangsa.

“Pihak polis telah mengambil tindakan merakam percakapan yang terlibat seperti guru-guru, pelajar-pelajar dan ibu mangsa bagi membantu siasatan.

“Siasatan awal juga mendapati tiada wujudnya sebarang unsur-unsur gangsterisme dalam kejadian ini,” ulas Wan Mohd Zahari berhubung kes ini.

Dalam pada itu, kes ini disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaaan.

Oleh hal demikian, dinasihatkan agar orang awam diminta untuk tidak mengganggu siasatan polis dan membuat spekulasi kerana kes ini masih berada dalam siasatan polis.

“Polis Kuantan ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya memuat naik sebarang posting perkongsian yang boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat sebelum mendapat pengesahan daripada pihak berkuasa,” jelas beliau.

Perkongsian di Facebook: