Tolak Cadangan Gunung Inas Tanam Pokok Semula, Ini Jawapan Menteri Besar

Sememangnya hutan semakin lama mengalami proses kemusnahan dek kegiatan pembalakan yang berleluasa. Oleh hal demikian, pihak berwajib haruslah bertanggungjawab memulihara dan melestarikan hutan bagi mengelakkan impak yang lebih teruk kepada penduduk sekitar.

Memetik laporan Oh!Media, Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Prof Dr Ahmad Ismail menyuarakan pendapat beliau bahawa pemulihan hutan perlu dilakukan segera bagi mengelakkan penduduk di sekitar Hutan Simpan Gunung Inas, Baling Kedah terdedah kepada ancaman banjir lumpur dan aliran puing.

Menurut beliau, sebanyak 100 juta pokok perlu ditanam semula selepas kawasan itu rosak teruk dijadikan kawasan aktiviti pembalakan dijalankan.

Walau bagaimanapun, berbeza dengan pendapat Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Muhammad Sanusi pula sebaliknya menyatakan bahawa kawasan yang ditebang untuk pembalakan sebelum ini akan kembali menjadi hutan selepas 30 tahun.

Sanusi juga menambah bahawa keadaan itu akan berlaku di mana-mana hutan di negara ini.

“Insya-Allah pokok hutan itu akan tumbuh sendiri, semua hutan di Kedah tidak ada siapa yang menanamnya.

“Jika kita mahu baik pulih pun, kawasan rosak itu sudah jadi laluan air dan pada masa akan datang ia tetap akan jadi laluan air juga.” terang Sanusi mengenai isu penanaman pokok semula.

Manakala bagi mengurangkan kejadian banjir puing, kerajaan negeri akan membina dua empangan sabo di kaki Gunung Inas menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Beliau mengeluarkan kenyataan sedemikian selepas diminta mengulas laporan media mengenai kerosakan yang telah berlaku Gunung Inas akibat banjir puing pada 4 Julai lalu, selain cadangan pelbagai pihak untuk memulihkan gunung itu dengan menanam pokok.

Sebelumnya, bencana banjir dan banjir puing pada 4 Julai lalu yang berlaku di 12 kampung di sekitar daerah Baling telah meragut tiga nyawa termasuk wanita hamil empat bulan.

Dalam tragedi yang sama, lebih 800 rumah penduduk terutama di Kampung Iboi dan sekitar Kupang terjejas teruk.

Difahamkan, termasuk 15 kediaman lenyap dengan 18 lagi rosak teruk terkena kayu balak hanyut yang dibawa kepala air dari arah gunung.

Berdasarkan laporan Berita Harian, Muhammad Sanusi tidak tahu menahu mengenai permohonan menukar tanaman Timber Latex Clone (TLC) iaitu pokok getah kepada penanaman durian Musang King pada Jun lalu seperti didedahkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) semalam.

Namun begitu, beliau menjelaskan bahawa durian Musang King tidak termasuk dalam senarai tujuh spesies dibenarkan dalam penanaman untuk ladang hutan.

“Saya tak tahu itu (permohonan tukar tanaman pada Jun) kerana dari awal lagi, saya sudah katakan hanya ada tujuh spesies dibenarkan jadi ladang hutan, tetapi tidak termasuk tanaman durian,” ulas lanjut Muhammad Sanusi.