Buang Sampah Merata, Sikap Pengotor Pengunjung RX-Z Member 4.0 Raih Kecaman Warganet

Seperti yang kita tahu, amalan menjaga kebersihan ini sangat penting dan harus dijadikan satu budaya yang patut diamalkan dalam masyarakat kita. Walau bagaimanapun, masih ada individu yang tidak bertanggungjawab tidak menjaga kebersihan setempat sehingga meninggalkan impak terhadap pihak lain.

Menerusi laporan Vocket, seramai 30,000 lebih peserta hadir dalam acara ‘RX-Z Members 4.0 2022′ di Litar Permotoran Terengganu, Kompleks Sukan Gong Badak pada Sabtu yang lalu.

Acara ini merupakan kali ke-4 himpunan motosikal Yamaha RX-Z terbesar di Malaysia setelah kali pertama diadakan bermula tahun 2017 dan kali terakhir pada 2019.

Namun begitu, didapati kemeriahan acara itu berakhir dengan insiden yang ‘tidak senang’ dilihat oleh mata orang awam.

Berdasarkan gambar yang telah dikongsikan di laman Facebook pengguna Bernama, dapat dilihat banyak sampah berselerakan di merata-rata tempat di lokasi acara tersebut.

 

Kelihatan sampah-sarap seperti bekas plastik, botol air, tin, kertas dan tisu bersepah di kawasan berkenaan.

Sampah-sarap itu dibiarkan berselerakan di atas lantai, dahan pokok, tempat duduk pengunjung dan juga kawasan berumput di tepi jalan.


Menjengah di ruangan komen, rata-rata netizen berasa tidak puas hati dengan sikap pengunjung-pengunjung berkenaan yang membuang sampah di merata-rata tempat seperti ‘tiada sivik’.

Sebaliknya, ada juga individu yang berpendapat bahawa perkara ini merupakan perkara biasa selepas tamatnya sesuatu acara dan pihak yang bertanggungjawab akan membersihkan semula kawasan berkenaan.

Walau bagaimanapun, lebih ramai warganet tidak bersetuju disebabkan mereka berpendapat bahawa pengunjung sepatutnya perlu ada ‘common sense‘ dan kesedaran sivik untuk menjaga kebersihan di tempat awam dan sekurang-kurangnya mengurangkan beban pekerja-pekerja kebersihan untuk menjalankan tugas mereka.

Ada juga individu yang berseloroh mengenai acara tersebut yang menjemput pengunjung yang rata-ratanya ‘hobi kami mahal’ itu.

Antara komen netizen:

“Hobi kami Mahal.. Mental kami Murah.. 😅”

“Itu tugas penganjur…Perkara ini biasa nya akan terjadi baik apa event sekalipun…kecuali indoor…kerana senang pantau contoh stadium…UTK pengalaman dilain event terapkan sifat kerja sama tentang kebersihan …terutama event² besar…..”

“Bila la nak berubah. Siap sangkut sampah pada pokok 👎👎👎”