Pilot Lupa Hidupkan Suis Tekanan, 30 Penumpang Kapal Terbang Berdarah Hidung

Lebih 30 penumpang penerbangan alami insiden pendarahan hidung dan telinga akibat kecuaian juruterbang yang terlupa untuk menghidupkan suis kawalan tekanan udara dalam kabin pada 20 September yang lalu, lapor Khaleej Times.

Pesawat Jet Airways 9W 697 yang sedang membuat perjalanan dari Mumbai ke Jaipur itu dilaporkan terpaksa berpatah balik selepas keadaan menjadi tidak terkawal sekali gus mencetuskan panik.

Pesawat yang membawa seramai 166 penumpang itu mendarat di lapangan terbang Mumbai dan terus diberikan rawatan serta pemeriksaan lanjut. Kesemua mangsa yang mengalami pendarahan segera dikejarkan ke hospital Mumbai dan mengambil masa sekitar 10 hari untuk sembuh.

Terdapat juga beberapa penumpang mengongsikan situasi cemas pada ketika itu menerusi Twitter yang menunjukkan bagaimana mereka perlu memakai topeng oksigen akibat kejadian berkenaan.

“Kebodohan di tahap tertinggi. Anda mempunyai satu tugas untuk dilakukan. Penumpang alami pendarahan pada hidung dan telinga disebabkan kru #JetAirways terlupa memasang suis tekanan udara untuk mengekalkan tekanan kabin. Penumpang dimasukkan ke hospital”

Selepas kira-kira 45 minit berlepas, juruterbang mengambil keputusan untuk berpatah semula selepas ramai penumpang mengadu mengalami sakit telinga selain pendarahan pada hidung mereka.

Sementara itu, syarikat penerbangan Jet Airways telah mengeluarkan satu kenyataan bahawa kesemua kru penerbangan telah digantung tugas buat sementara waktu sementara pihak berwajib menjalankan siasatan. Malah, pihak syarikat turut memohon maaf dan kesal kerana kejadian tersebut telah mengakibatkan ketidakselesaan terhadap para penumpang.