Perlu Bayar Lesen RM600 Jika Mahu Mainkan Muzik di Majlis Perkahwinan – MRM

“Majlis keraian atau perkahwinan tanpa alunan muzik umpama majlis kematian,” demikian respon netizen terhadap berita yang mewajibkan pihak penganjur mendapatkan lesen muzik sebanyak RM600 jika mahu memainkan muzik di majlis mereka.

Music Right Malaysia (MRM) dalam kenyataan yang disiarkan di Utusan Online hari ini berkata, semua majlis keraian atau perkahwinan yang mahu memainkan alatan muzik sama ada secara rakaman atau secara langsung akan dikenakan lesen muzik sebanyak RM600 daripada MRM.

MRM menegaskan, memainkan muzik tanpa lesen adalah menyalahi undang-undang di bawah Akta Hakcipta 1987.

“Ini kerana tindakan itu dianggap sebagai menafikan bayaran terhadap penggunaaan harta intelek yang dimiliki pengkarya muzik, syarikat rakaman dan artis rakaman.

“Oleh itu, sila pastikan acara perkahwinan yang memainkan muzik dalam bentuk rakaman atau secara langsung mendapatkan lesen muzik daripada MRM,” katanya.

Difahamkan, MRM telah diberi mandat sebagai pelesen tunggal oleh agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan pada ketika itu, dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) pada 1 Januari 2017, untuk mengeluarkan lesen muzik dan kutipan bayaran di negara ini.

Sementara itu di media sosial, netizen mempersoalkan penguatkuasaan itu yang disifatkan tidak munasabah.

“Tak masuk akal. Pasangan muzik di majlis perkahwinan hanya untuk memeriahkan majlis, bukannya untuk meraih keuntungan,” kata netizen.

Walaupun netizen membantah, peraturan itu telahpun dilaksanakan sejak 2017 oleh kerajaan Barisan Nasional ketika itu.

Tidak kurang juga, ada netizen tertanya-tanya apakah nasib golongan busker yang mencari makan dengan memainkan muzik artis yang ‘berlesen’.

Hiburan muzik sebegini sudah menjadi adat tradisi orang Melayu kita sejak dahulu lagi bagi memastikan majlis tidak bosan.

Rata-rata bakal pengantin pasti akan membuat pilihan untuk hiburan seperti ini sama ada live band, hanya buat karaoke, penuhi dengan lagu irama tradisional, penggunaan khidmat DJ dan juga jemputan penyanyi kegemaran.

LIVE BAND

Kelebihan live band ialah alunan muzik mereka dimainkan secara langsung dan lebih meriah. Jika anda memilih live band, jangan lupa berikan senarai lagu pilihan kepada mereka agar tidak tersasar daripada apa yang anda inginkan.

KARAOKE

Karaoke memberikan ruang untuk sesiapa sahaja menyanyi di majlis perkahwinan anda. Sama ada ia satu kelebihan atau kekurangan, sukar untuk ditentukan. Jika yang bersuara merdu yang menyanyikan mungkin anda bernasib baik tetapi jika sebaliknya, ya ampun. Karaoke merupakan pilihan banyak pasangan lebih-lebih lagi yang menjalankan majlis di rumah. Pastikan keluarga dan jiran anda restu dengan cadangan kerana bimbang jika menganggu kejiranan. Bila sudah karaoke, pastikan anda mempunyai senarai pelbagai jenis lagu untuk dinyanyikan.

IRAMA TRADISIONAL

Untuk majlis berkonsepkan tradisional, anda boleh mengupah persembahan silat, tarian zapin, kompang ataupun cak lem pong. Bergantuang kepada kesesuaian majlis, pastikan anda membuat tempahan lebih awal agar mereka mempunyai masa yang cukup untuk berlatih. Untuk silat dan tarian, pastikan anda menyediakan sedikit ruang untuk mereka beraksi.

DJ

Mereka hanya memainkan lagu-lagu dalam playlist pilihan anda sepanjang majlis. Lagu yang dimainkan antara pilihan lagu terbaik anda berdua, namun anda juga boleh berbincang dengan mereka jika mereka juga mempunyai beberapa playlist yang menarik boleh dimainkan sekali. Di samping itu juga, kadang-kala ada DJ yang gemar berceloteh dengan para tetamu jadi pastikan DJ tersebut tidak syok sendiri sehingga tidak memainkan lagu yang anda inginkan.

PENYANYI

Jika punya duit lebih, tak salah jika anda mengundang penyanyi di majlis ratu sehari anda. Ianya sekaligus menjadi memori paling manis terutamanya jika penyanyi tersebut menyanyikan lagu kegemaran anda berdua. Tempahan awal penting kerana takut penyanyi yang anda inginkan mempunyai jadual yang padat.