Penyokong Najib Berhimpun Serba Hitam, Gesa Pengampunan Diraja Dilakukan

Baru sahaja dua hari berlalu sejak bekas Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Mohd Najib Razak dimasukkan ke penjara, pelbagai perkara yang terjadi ekoran kejadian tersebut.

Memetik laporan Harian Metro, semalam kira-kira 300 penyokong Najib yang kebanyakannya berpakaian hitam, telah berkumpul di luar Istana Negara.

Difahamkan, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia itu berkumpul bersama penyokong-penyokong Najib Razak untuk menyerahkan memorandum pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hanya selepas sehari bekas Perdana Menteri itu menjalani hukuman penjara 12 tahun.

Sebelumnya, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun pernah menyatakan bahawa Najib Razak akan hilang kedudukan kerusi parlimen dalam 14 hari sekiranya tiada prosedur mahkamah lain, atau permohonan pengampunan diraja dibuat.

Walau bagaimanapun, tiada sebarang kenyataan yang dikeluarkan daripada pihak Najib Razak berhubung dengan permohonan pengampunan diraja dibuat.

Oleh hal demikian, Presiden NGO tersebut, Syed Syed Mohammad Imran Syed Abdul Aziz menyatakan bahawa memorandum itu adalah berkaitan pengampunan diraja terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bukan itu sahaja, dia juga memohon Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mendesak agar Najib diberikan pengampunan diraja.

“Selain itu, kita juga menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk campur tangan dalam isu ini.” jelasnya.

Bagi penyokong-penyokong Najib Razak ini, beliau tidak mendapat layanan yang adil disebabkan mahkamah telah menolak permohonan beliau untuk memasukkan bukti tambahan, dan enggan menangguhkan rayuan akhir kes tersebut bagi memberikan masa kepada peguam Najib untuk bersedia.

“Jangan sentuh sorang pun ahli kami. Kami akan bersurai secara baik, tapi kami mohon jika minggu ini tidak berlaku apa-apa pengampunan terhadap Datuk Seri Najib, minggu depan kami akan datang dengan lebih besar lagi.

“Saya mohon Yang Amat Berhormat Perdana Menteri campur tangan dan pemimpin negara, pemimpin UMNO tarik sokongan terhadap kerajaan sekarang. Kerajaan campuran sekarang memang betul-betul tak guna,” katanya berhubung dengan isu tersebut.

Menerusi video yang tular di laman Twitter pengguna @raishussin, memaparkan Presiden NGO tersebut seakan mengugut jika Najib Razak masih tidak dapat pengampunan diraja lagi pada minggu ini, maka mereka akan datang semula dengan himpunan yang lebih besar.

“Jika minggu ini tidak berlaku apa-apa pengampunan terhadap Dato’ Seri Najib, minggu depan kami akan datang dengan lebih besar lagi.

“Saya mohon Yang Amat Berhormat Perdana Menteri campur tangan atau pemimpin negara memimpin UMNO tarik sokongan terhadap kerajaan sekarang.

“Kerajaan campuran sekarang memang betul-betul tak guna,” tegasnya.

Menjengah di ruangan komen, warga maya berang dengan kata-katanya yang berbaur ugutan yang jelas terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Antara komen netizen:

“ugut ke tu..pengampunan tu hak Agong kenapa nk paksa.jgn libatkan Agong dlm hal ni. kalau mcm tu sapa lepas jadi pm buat keje tak betul kena dakwa kena masuk penjara pastu minta Agong bg pengampunan mcm tu aku pun nk jadi pm.hormat sikit keputusan mahkamah.”


“@PDRMsia Unsur ugutan jelas terlihat terhadap YDPA.”

 

Video tular di Twitter: