Konsep ‘Mesra Pejalan Kaki’ di Jalan TAR, DBKL Arah Tutup Setiap Ahad

Jalan Tunku Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Jalan TAR merupakan antara pusat bandar yang menempatkan pelbagai pusat beli-belah untuk kunjungan keluarga. Bukan itu sahaja, Jalan TAR turut dijadikan tumpuan tarikan oleh para pelancong.

Baru-baru ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah melaksanakan penutupan Jalan TAR setiap hari Ahad bermula semalam, bagi menjadikan kawasan tersebut sebagai kawasan ‘Mesra Pejalan Kaki’ seperti di Sepanyol.

Bermula dari 6 pagi sehingga 12 tengah malam, penutupan Jalan TAR ini bukan dibuat hanya suka-suka.

Hal ini dilakukan bagi meningkatkan keselamatan jalan raya kerana tidak akan ada satu pun kenderaan yang bakal melalui kawasan itu pada hari tersebut.

Oleh itu, para pengunjung boleh menarik nafas lega dan tidak perlu terlalu risau akan keselamatan mereka, terutamanya pasangan ibu bapa yang mempunyai anak kecil ketika berjalan kaki di kawasan itu.

Selain itu, penutupan ini dilakukan untuk mengurangkan kesesakan jalan raya yang sering berlaku di lokasi berkenaan.

Dengan kurangnya kesesakan, pengunjung-pengunjung akhirnya boleh menikmati seni bina bangunan, lukisan mural dan suasana kawasan tersebut dengan lebih nyaman.

Apabila pengurangan kesesakan jalan raya berjaya dilakukan, maka tiada lagi keperluan untuk menyediakan ruangan parkir kenderaan.

Dalam pada itu, ruangan parkir yang tidak digunakan pada hari Ahad itu mampu dijadikan sebagai kawasan untuk peniaga kecil menjalankan perniagaan mereka serta boleh diadakan persembahan muzik jalanan, lukisan potret dan seumpamanya bagi menambahkan ‘seri’ pada kawasan pelancongan itu.

Pihak DBKL juga telah mengadakan satu inisiatif di mana akan disediakan ruangan untuk anak-anak kecil beriadah dan bermain dengan pengawasan petugas.

Dengan ini, ibu bapa boleh membeli barangan yang diperlukan mereka dengan lebih fokus selain melayani karenah anak yang meragam akibat bosan.

Secara tidak langsung, kemahiran komunikasi anak-anak tersebut juga boleh dipertingkatkan dengan berborak bersama rakan baharu sewaktu bermain-main di ruangan yang disediakan itu.

Difahamkan, konsep ‘Mesra Pejalan Kaki’ ini hampir sama dengan konsep yang telah dilaksanakan di Pontevedra bertempat di Sepanyol.

Sekadar info, tiada kemalangan maut dicatatkan sejak tahun 2009, dan kadar pelepasan karbon dioksida (CO2) turut menurun sebanyak 70 peratus yakni sangat bagus untuk meningkatkan kualiti udara dan alam sekitar dengan adanya pelaksanaan ‘Mesra Pejalan Kaki’ di lokasi tersebut.