Lawat Pusat Penyelidikan Ganja Thailand, KJ Tegaskan Kanabis Tidak Akan Guna Bagi Tujuan Rekreasi

Ganja atau kanabis ini telah digunakan sejak dahulu lagi sebagai ubat untuk pelega kesakitan. Namun begitu, di Malaysia si penyeludup ganja boleh dikenakan hukuman mati.

Hal ini disebabkan walaupun penggunaan ganja ini tidak merbahaya dan mampu merawat masalah kesihatan, akan tetapi ianya masih diharamkan kerana penggunaan dadah yang melampau masyarakat kita.

Menerusi laporan Berita Harian, Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin telah memberikan jaminan bahawa kerajaan Malaysia tidak akan menggunakan kanabis sebagai tujuan rekreasi.

Sebelumnya, Khairy telah menjalankan lawatan kerja selama 4 hari di Bangkok, Thailand untuk mengkaji amalan, kaedah penanaman, penyelidikan dan penggunaan kanabis untuk tujuan perubatan.

“Saya berada di Bangkok untuk memahami lebih lanjut bukti klinikal dan rangka kerja kawal selia.

“Jika bukti klinikal menunjukkan bahawa kanabis selamat dan mujarab digunakan bagi tujuan perubatan, kami akan menyediakan rangka kerja pengawalseliaan serta garis panduan amalan klinikal.

“Jangan khuatir, penggunaan kanabis untuk tujuan rekreasi tidak akan dibenarkan,” jelas Khairy berhubung isu tersebut dalam hantaran Instagram (IG) miliknya.

Hantaran itu turut memaparkan foto beliau di sebuah pusat penyelidikan kanabis bersama dengan Menteri Kesihatan Thailand, Anutin Charnvirakul.

“Bersama rakan saya, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kesihatan Awam, Anutin Charnvirakul menunjukkan produk CBD Thailand.

“Mereka telah membenarkan kanabis untuk tujuan perubatan,” terang beliau.

Difahamkan, Khairy telah melawat Siam Cannabis Land di Pattaya pada awal pagi hari ini.

Beliau juga diberikan taklimat serta melawat rumah hijau dan ladang penanaman terbuka yang menempatkan pelbagai penanaman jenis kanabis.

Sekadar info, projek bandar kanabis di Thailand yang mempunyai keluasan sebanyak 141.64 hektar itu akan dijangka mampu memberikan impak dari segi pembangunan produk kesihatan dan perkhidmatan produk yang berkesan secara menyeluruh.

Dikatakan, Thailand merupakan negara Asia Tenggara yang pertama membenarkan penanaman dan pemilikan kanabis dilakukan bagi tujuan perubatan.

Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Thailand telah mengeluarkan kanabis yang tidak melebihi 0.2 peratus tetrahydrocannabinol (THC) daripada senarai narkotik yang diharamkan.

Namun begitu, pemilikan kandungan yang diekstrak seperti minyak dan hidangan makanan minuman yang mengandungi lebih 0.2 peratus THC di Thailand masih diharamkan.

Peratus kandungan THC itu diharamkan kerana THC ialah sebatian psikoaktif utama yang terkandung dalam kanabis.