‘Port’ Menagih Dadah Di Pusat Bandar, Ancam Keselamatan Penduduk Setempat

Penyalahgunaan dadah merupakan salah satu isu yang terbesar di negara kita. Hal ini demikian kerana walaupun penggunaan dadah ada kebaikannya, tetapi lebih banyak keburukannya sehingga boleh mengakibatkan ketagihan sekiranya digunakan secara berlebihan.

Menerusi laporan Harian Metro, rumah terbiar, tempat letak kereta yang sunyi dan kawasan semak sekitar bandar Kota Bharu antara lokasi yang dikesan menjadi ‘port‘ penagih dadah melakukan rutin harian mereka melepaskan gian masing-masing.

Apa yang menimbulkan kerisauan dalam masyarakat setempat tersebut ialah, kesemua lokasi yang dicatatkan bukanlah berada di kawasan yang terpencil atau jauh dari penempatan.

Malah, berhampiran dengan kawasan tumpuan orang awam.

Isu ini menimbulkan kegusaran terhadap orang awam akan bagaimana kegiatan penagih-penagih ini boleh berleluasa sehinggakan mereka risau jika penagih ini mampu bertindak di luar kawalan.

Lebih menghairankan, ada di antara rumah yang menjadi pusat kegiatan mereka ‘melepaskan gian’ ini terletak berdekatan dengan hotel yang selalu dikunjungi oleh para pelancong ke negeri Kelantan.

Tambahan lagi, lokasi itu juga tidak terlindung dan hanya beberapa meter terletak daripada tempat parkir hotel berkenaan.

Berdasarkan tinjauan Harian Metro yang telah dibuat di kawasan tersebut, bukan sahaja alatan menagih dijumpai malah bekas sisa ketum dan arak yang bertaburan di kawasan tersebut membuktikan bahawa kawasan berkenaan sering dikunjungi oleh penagih-penagih dadah ini.

Menurut Saiful Adha Bakhri, 26, yang merupakan seorang penghantar makanan di kawasan tersebut, dia mengaku bahawa dia sedar akan kewujudan ‘pusat melepaskan gian’ tersebut setelah dia menghantar pesanan di sebuah rumah terbiar kepada seseorang individu yang dipercayai penagih di situ.

“Rumah itu terletak di jalan keluar sebuah hotel yang mana dari luar memang dilihat seperti kosong tiada penghuni. Saya sendiri meremang bulu roma apabila sampai di lokasi serta mengambil keputusan untuk segera beredar sebaik selesai membuat penghantaran.

“Ketika itu, pelanggan saya adalah dua lelaki yang dilihat tidak begitu terurus tetapi masih boleh berkomunikasi dengan baik.

“Sempat juga saya melihat ke dalam rumah terbiar yang sudah tidak berpintu dan melihat terdapat tin arak dan peralatan seperti digunakan penagih.

“Saya menghantar pesanan terbabit pada lewat petang dan yakin lokasi ini hanya didatangi penagih mengikut waktu tertentu kerana ada masanya rumah berkenaan kosong,” terang Saiful berkenaan isu tersebut.

Melalui tinjauan yang telah dibuat juga, wartawan turut menjumpai cebisan penyedut minuman yang dipotong pendek yang kebiasaannya digunakan untuk menyedut serbuk dadah jenis heroin serta pil kuda.

Selain itu, plastik dan botol yang telah digunakan untuk mengisi air ketum turut ditemui di sebuah tempat letak kenderaan bertingkat di bandar Kota Bharu ini.

Lokasi yang dicatatkan menempatkan beberapa premis makanan, kedai emas dan kedai jahit di tingkat dua.

Manakala di tingkat tiga pula, terletaknya tempat parkir kenderaan yang dipercayai menjadi pusat melepaskan gian mereka.

Suasana parkir kenderaan tersebut seperti tempat parkir biasa yang berada dalam keadaan bersih serta terjaga.

Sebaliknya, terdapat alatan menagih dadah ditemui tersembunyi di sebalik pintu bilik stor berdekatan lif yang sudah rosak di tingkat empat dan lima.

Mah, 53, salah seorang peniaga di bangunan tersebut menyatakan bahawa dia jarang sekali naik ke tempat parkir atas kerana keadaannya yang sunyi selain tiada yang meletakkan kenderaannya di situ terutama sekali di tingkat yang paling atas.

“Saya sendiri tak pernah melihat orang menagih dadah di sini, tetapi ada mendengar daripada rakan niaga lain tempat terbabit (bahagian parkir) ada masanya dijadikan tempat ‘mat gian’ melepak.

“Kedai saya hanya beroperasi dari 8 pagi sehingga 4 petang, selepas itu keadaan di sini memang agak sunyi selain tidak berpagar membolehkan orang turun naik sewenang-wenangnya,” jelas Mah yang turut risau akan keselamatan dirinya yang berniaga di bangunan tersebut.

Tuntasnya kewujudan ‘port’ penagihan dadah ini terutamanya di kawasan bandar utama bukan sahaja mengancam keselamatan masyarakat, namun turut memberikan imej buruk terhadap sesebuah kawasan.

Oleh hal demikian, pihak yang bertanggungjawab haruslah memainkan peranan masing-masing dalam membanteras isu dadah ini sebelum kegiatan ini menjadi lebih luas dan tidak terkawal sehingga menggugat kesejahteraan awam kelak.