“Peluh jantan mula keluar,” Perempuan Tua Bertenggek Atas Tembok, Lelaki Ini Kongsi Kisah Seram Kuarters Tentera

Ramai di antara kita yang sanggup berada di tempat kerja sampai larut malam untuk menyiapkan kerja-kerja yang ada supaya keesokan harinya kerja yang ada berkurangan.

Pun begitu, dalam ramai-ramai yang bekerja sampai malam tu pasti pernah mengalami situasi yang aneh-aneh atau perkara mistik yang berlaku.

Sama seperti yang diceritakan oleh seorang askar yang dikenali sebagai Asri berkongsi pengalaman semasa tinggal di kuarters tentera.

Sebelum menceritakan perkara seram yang terjadi kepadanya, dia memberitahu bahawa dia tinggal di blok tingkat kedua daripada empat tingkat.

Semua tingkat dikatakan penuh ketika itu. Bloknya adalah blok yang kedua dari sekolah rendah dimana juga berada dalam kawasan kem.

Mereka bercampur perlbagai bangsa dari Sabah Sarawak dan Semenanjung. Asri seronok akan persekitaran di situ.

Dia juga sempat menambah katanya blok yang dia tinggal itu blok lama.

Kisah seramnya bermula pada suatu malam dimana unitnya sedang membuat persediaan untuk lawatan orang-orang besar membuatkan mereka terpaksa bersengkang mata menyiapkan segala persediaan.

“Biasa askar kerja 24 jam kan” kata Asri.

Asri dan rakannya telah membahagikan tugas sehari sebelum lawatan dan tugas mereka adalah untuk menyiapkan dewan.

Sedang mereka bertungkus-lumus menyiapkan dewan, mereka sampai tak perasan bahawa jam sudah menunjukkan pukul dua pagi dan hanya mereka sahaja yang tinggal di situ.

Katanya, rakan-rakannya yang lain sudah pulang dahulu. Sedar malam sudah lewat, dia pun memberitahu rakannya untuk sambung bekerja esok pagi.

Rakan Asri itu masih bujang dan biliknya juga berhampiran dengan dewan. Jadi, dia pulang ke bilik dengan hanya berjalan kaki sahaja.

Berbeza dengan Asri dimana dia terpaksa keluar melalui jalan raya, tempuh pintu polis tentera dan barulah sampai ke bloknya.

“Siap melalui klinik dan sekolah rendah baru sampai blok. Dari unit saya ke blok dalam lima kilometer tak jauh” tambahnya lagi.

Sesudah selesai memarkir motor di bawah blok, dia berasa tak sedap hati dan meremang segala bulu-bulu yang ada. Jelas Asri, tingkat bawah blok yang dia tinggal adalah untuk parkir kenderaan dan setor.

“Tengok jam dah pukul tiga pagi. Bulan penuh malam tu kira-kira teranglah nampak keliling”

Tanpa berfikir panjang, dia pun naik tangga untuk ke rumahnya, tingkat dua. Rumahnya tereletak di sebelah tangga.

Oleh itu, tak perlulah dia berjalan jauh. Tiba-tiba dia perasan sesuatu yang aneh.

“Saya perasan macam ada orang memerhati kat saya. Dalam hati dah berzikir. Saya toleh belakang dan kat bawah tak ada apa-apa”

Lega kerana tiada apa-apa yang berlaku, Asri mengambil udara di depan rumah kerana di depan rumahnya tersedia kerusi untuk duduk-duduk berehat. Selang beberapa minit dia terdengar suara isterinya memanggil.

“Abang ke tu?”

“Ya. Jangan buka pintu nanti abang buka & masuk sendiri..” jawab Asri kepada isterinya.

Kerana ketika itu dia perasan seperti ada yang memandang ke arahnya dari seberang blok.

“Siapa tu..dah pagi tak tidur-tidur..” bisik Asri dalam hati.

Dia pun menyalakan sebatang rokok sambil memandang ke blok depan untuk melihat siapa yang sedang memerhati dirinya.

Perasan Asri yang membuak-buak ingin tahu membuatkannya bangun dari tempat duduk dan memastikan sendiri siapakah orang tersebut.

Alangkah terperanjatnya dia apabila dia melihat seorang perempuan tua berambut panjang sedang duduk mencangkung di atas tembok blok sambil merenung tepat ke arahnya! Dengan mata merah dan lidah terjelir panjang.

Asri cepat-cepat membuang rokoknya yang belum habis dihisap dan bergegas lari masuk ke rumah.

“Badan rasa menggigil serta peluh jantan mula keluar sebab rasa takut. Saya masuk bilik air basuh kaki. Sebelum saya masuk bilik tidur, saya cuba-cuba intai-intai celah tingkap. Perempuan tu tak ada kat tempat tu”

Asri menghembus nafas lega kerana perempuan tua tersebut sudah hilang.

“Alhamdulillah dah hilang. Mesti syaitan” ucap Asri dalam hati.

Dia pun masuk ke bilik untuk lelap. Isteri dan anaknya sudah lena dahulu. Tiba-tiba ada seseorang yang mengetuk tingkap ruang tamu rumahnya. Dia mengintai dari pintu dan dia melihat perempuan tua tersebut yang sedang mengetuk tingkap rumahnya.

Asri terus rebahkan diri di sisi isterinya sambil bibir terkumat-kamit membaca tiga Qul dan Ayat Kursi sehinggalah azan Subuh. Pada pagi itu dia terus ke unit untuk menyelesaikan kerja-kerja yang tak siap walaupun hampir demam dan badan berasa panas sejuk.

Akhir cerita, Asri sempat ke klinik untuk mendapatkan rawatan. Dia telah diarahakan berehat selama tiga hari di rumah oleh doktor.

“Saya ada tanya orang lama yang dok situ, dia kata memang ada saka orang lama tinggalkan”

Asri juga sempat menyelitkan lakaran perempuan tua yang dilihatnya.