Pelik Kereta Siapa Parkir ‘Block’ Depan Rumah, Rupa-Rupanya Kejutan Dari Anak Buat Ayah Ibu Menangis

Siapa sahaja yang tidak sukakan kejutan bukan? Lebih-lebih lagi apabila menerima kejutan yang gembira daripada keluarga yang tercinta.

Iospital phone repair gombak

Sama seperti kisah yang tular baru-baru ini di mana sebuah keluarga berasa hairan kerana tiba-tiba terdapat sebuah kereta jenama Axia diparkir menghalang pintu rumah mereka.

Rupa-rupanya kereta itu merupakan suatu kejutan buat ayah dan ibu mereka, tetapi dibuat sebagai ‘prank’ pada awalnya.

Memetik laporan MStar, Mohd Haazik Mohamed yang merupakan perakam video tular itu menyatakan bahawa kejutan itu telah dirancang oleh mereka adik-beradik untuk ibu bapanya.

Difahamkan kejadian berlaku ketika ibu bapanya berkunjung ke rumah salah seorang kakaknya yang terletak di Bandar Baru Uda di Johor Bahru, Johor, pada minggu lalu.

“Kejutan dibuat oleh along (kakak sulung) dan abang ipar bagi menggantikan kereta Viva ayah yang digunakan sejak 2008.

“Kereta lama dah 15 tahun, selalu ada masalah termasuk kadang-kadang air cond rosak. Jadi, along kasihankan ayah dan beli kereta baharu sebelum apa-apa tak diingini berlaku,” jelasnya.

Haaziq turut menerangkan bahawa kejutan itu dilakukan secara spontan sahaja pada hari tersebut.

“Abang ipar konon keluar nak pergi beli barang, tapi pergi ambil kereta Axia di Perodua dengan menaiki Grab dan pandu bawa balik ke rumah dan parking kereta tu di luar pintu pagar.

“Dia kemudian berlakon nak keluarkan kereta dia yang parking dalam pagar rumah. Masa itulah panggil mak dan ayah keluar rumah tengok kereta siapa yang park di luar.

“Semua cari siapa pemilik kereta Axia tu. Rumah kakak ni tak pernah timbul masalah orang park depan rumah, jadi mak ayah rasa pelik,” ujarnya yang berasal dari Johor Bahru.

Akhirnya teka-teki siapakah pemilik kereta tersebut telah pun terjawab apabila kakak sulungnya memaklumkan kereta Axia di hadapan rumah itu ialah hadiah buat ibu bapa mereka.

“Ayah seorang yang mudah mesra, cuma semakin tua ni hati ayah ’tisu’, mudah tersentuh. Apabila along beritahu itu hadiah kereta dia, ayah terus menangis.

“Bukan setakat luar rumah je, mak ayah kemudian masuk rumah dan berpelukan sambil menangis,” ceritanya mengenai ibu bapa mereka.

Dikatakan, kereta tersebut telah dihadiahkan selepas bisnes yang diusahakan kakak dan abang ipar sebagai ejen pembekal barangan implan perubatan kelihatan menggalakkan.

“Kereta lama sering bermasalah, jadi kami tak izinkan ayah bawa kereta tu keluar dari Johor. Kalau ayah nak keluar dari Johor pun, kami akan sediakan kereta milik adik-beradik.


“Ayah merupakan pesara kerajaan dan aktiviti masa lapangnya sekarang gemar memancing, berkebun dan berjumpa dengan cucu-cucu. Ayah juga pernah ‘mengidam’ nak ke Terengganu.

“Alhamdulillah ayah masih sihat untuk memandu, mungkin akan datang mahu berjalan-jalan ke Pantai Timur pula insyaAllah,” luahnya.

Video TikTok yang tular:

@haazikchew Terima kasih along dan suami belikan mak ayah kereta.. Moga dilimpahi dengan rahmat dan rezeki yang mencurah. Bahagia dunia akhirat. Triplet membesar dengan sihat dan solehah.. Haha lama betul dia plan mcm mana nak surprisekan mak dgn ayah. Kita yg tengok dari jauh pon ternangis.. terima kasih along.. 🌸😘 Raya ni teman jadi redebar yak yak yea!! 😅 #emakayah #syurga #terimakasihalong #random #fyp ♬ Ayah Dan Ibu – Dato' Sudirman