Pelawak Terkenal Terima Bayaran RM1,000 Jadi Penghantar Pekerja Seks?

Umum mengetahui bahawa semenjak awal minggu ini kontroversi melibatkan seorang pelawak yang disyaki terlibat dalam kes pemerdagangan manusia bagi tujuan eksploitasi seks menjadi perbualan warganet.

Ini kerana sehingga kini identiti artis berusia 40-an itu masih lagi misteri dan menjadi perbualan hangat netizen sehingga terdapat beberapa individu yang namanya ‘dipetik’ netizen bertegas menafikan dakwaan tersebut.

Menerusi laporan daripada Harian Metro, artis lelaki terbabit menerima bayaran melebihi RM1,000 untuk tempoh lapan jam berperanan sebagai ‘penghantar’ pekerja seks yang terlebih dahulu ditempah secara dalam talian menggunakan aplikasi WhatsApp.

Menurut pihak polis berdasarkan siasatan awal, artis lelaki terbabit mengambil pekerja seks itu di Bukit Jalil, Kuala Lumpur sebelum membawanya ke sebuah hotel di Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada Ahad lalu.

“Soal siasat terhadap wanita ditahan itu mendakwa dia terbabit dalam kegiatan pelacuran dikendalikan seorang ejen bernama Kevin yang berperanan mempromosikan khidmat seks melalui pelbagai aplikasi media sosial.

“Biasanya pelanggan yang berminat diminta mendepositkan wang ke dalam akaun bank diberikan Kevin untuk melanggan pelacur,” katanya

Menurut pihak berkuasa Polis Diraja Malaysia tangkapan berkenan dilakukan dengan rancangan yang rapi.

“Tangkapan dilakukan bukan secara kebetulan berikutan polis merancang rapi dan mengadakan operasi khas bagi membongkar aktiviti pemerdagangan manusia itu untuk tujuan eksploitasi seks.

“Hasil penahanan itu, polis menemui pelbagai barang bukti antaranya telefon pintar, kondom dan wang disyaki hasil kegiatan jenayah itu,” katanya.

Menurut wanita itu juga, artis lelaki berkenaan merupakan ‘transporter’ menghantarnya kepada pelanggan yang sudah berada di hotel.

Menerusi laporan Metro, mangsa masih lagi mendapat perintah perlindungan dan ditempatkan di sebuah rumah perlindungan di Johor.

“Mangsa yang diselamatkan mendapat perintah perlindungan sementara dan ditempatkan di sebuah rumah perlindungan di Johor,” katanya.

Amran berkata, lelaki itu kini ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) selain dikenakan kompaun atas kesalahan rentas negeri tanpa kebenaran di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan).

“Siasatan lanjut berkaitan kes ini diteruskan bagi mengenal pasti rangkaian kegiatan pemerdagangan orang ini,” katanya.