Pelarian Rohingya Tidak Mahu Kerja Ladang, MEF Gesa Kerajaan Beri Peluang Kerja Di Sektor Formal

Isu pelarian Rohingya ini bukanlah satu perkara yang baru untuk dibincangkan dan masinh hangat diperkatakan di Malaysia.

Memetik laporan The Reporter, pelarian Rohingya tidak minat kerja di ladang, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) gesa kerajaan untuk benarkan mereka kerja di sektor formal.

Difahamkan, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) pada minggu lalu telah mencadangkan bahawa kerajaan boleh memanfaatkan sumber manusia yang sedia ada.

Kerajaan boleh menyerap ratusan ribu pelarian etnik Rohingya di sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar), daripada membawa masuk pekerja asing baru dari luar negara.

Namun begitu, MEF menjelaskan bahawa etnik Rohingya ini tidak berminat untuk kerja di sektor itu walaupun telah diberikan kemudahan seperti tempat tinggal percuma, dan kadar bayaran yang rendah bagi penggunaan bil elektrik dan air.

Presiden MEF, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman telah menggesa kerajaan agar mempertimbangkan semula cadangan untuk membenarkan pelarian etnik Rohingya ini supaya bekerja di sektor formal.

“Majikan bersedia memberi latihan semasa bekerja (OJT) sekiranya pelarian dibenarkan untuk diambil bekerja.

“Pada umumnya, tiada sebarang yuran dikenakan kerana pekerja akan bekerja di samping diberi bimbingan untuk meningkatkan kemahiran mereka.

“Pada masa ini, majikan lebih berminat memberi OJT kerana ia lebih efisien dan masa bekerja tidak hilang. Konsep latihan di bilik darjah dilihat tidak sesuai untuk mereka yang sudah dewasa,” jelas beliau berhubung dengan isu tersebut.

Misalnya, dana berjumlah RM 200 juta pernah disumbangkan oleh negara lain untuk membiayai latihan pelarian Rohingya sebelum mereka memulakan kerja mereka.

Dikatakan, MEF juga mencadangkan kerajaan agar memberikan pelarian Rohingya peluang untuk bekerja dan diberikan OJT.

Hal ini demikian kerana tindakan tersebut dilihat lebih bermanfaat dari segi kos dan kesannya, berbanding dengan latihan konvensional yang menelan perbelanjaan yang tinggi dan tidak dapat memenuhi keperluan syarikat.

“Apa yang penting adalah keputusan kerajaan mengenai pengambilan pelarian yang berada di Malaysia untuk bekerja. Terdapat kira-kira 184,000 pelarian di negara ini dan jika 60 peratus diambil bekerja, sedikit sebanyak akan mengurangkan masalah kekurangan pekerja ketika ini,” terangnya.

Pada hari Jumaat yang lalu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan memaklumkan bahawa sebarang cadangan atau saranan mengenai isu berkenaan haruslah menunggu kajian dilakukan terlebih dahulu oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) atas faktor keselamatan kerana ianya membabitkan keselamatan negara dan masyrakat.

“Saya faham kita terdesak (perlukan pekerja asing), tetapi kita tidak boleh berkompromi dengan keselamatan.

“Akta mengatakan pelarian ini masuk ke Malaysia dalam masa beberapa tahun mereka perlu dihantar ke negara ketiga. Tetapi setakat ini saya tak lihat mana-mana negara ketiga yang sanggup menerima,” tegas beliau.