Pakcik Fatimah, Chef Selebriti Adamdidam Dijemput Menghadap Ilahi Pagi Ini

Negara digemparkan dengan satu lagi berita yang merundum hati apabila CHEF selebriti, Chef Adam Mahamed Ismail atau lebih dikenali sebagai Adamdidam dijemput Ilahi pada usia 29 tahun.

Berita tersebut dikongsikan oleh sepupu beliau, Natasha Amran menerusi laman Instagram pada pagi Ahad.

Sepupu kesayangan saya meningal dunia pada pagi ini. Allahuakbar.

“Al-Fatihah untuk Adam. Semoga roh Adam ditempatkan bersama para solihin,” tulisnya menerusi posting tersebut.

Disamping itu, selebriti dan pengacara Neelofa yang berpangkat anak saudara kepada Adam turut memuat naik semula posting tersebut di Instastory beliau dan berkongsi gambar mereka ketika kanak-kanak.

Kemudian bagi mengukuhkan lagi kesahihan berita ini seorang sepupu lelaki Adam yang enggan dikenali berkata, chef tersebut meninggal dunia sekitar pukul 5 pagi akibat jangkitan paru-paru.

“Kami (pihak keluarga) memang mengetahui tentang keadaan kesihatan Adam yang menderita sudah lama.

“Sejak Februari lagi keadaan dia sudah tidak berapa okay,” katanya ketika dihubungi.

Ujarnya lagi, Adam meninggal dunia di kediaman ibu bapanya di Kota Bharu, Kelantan dan solat jenazah akan diadakan di Masjid Telipot. Kemudian, Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lemal, Pasir Mas selepas solat Zohor.

Sebelum ini, Adamdidam seolah-olah memberikan bayangan tentang keadaan kesihatan diri beliau menerusi posting kedua terakhirnya di Instagram

Sudah terlalu lama saya menghilang… apabila sesuatu berlaku, memang sukar untuk mengembalikan kehidupan anda kepada sediakala. Sekelip mata, hidup anda berubah 360! Dan perancangan anda? Lupakan sahaja. Ia hilang. Anda rasa tidak berdaya.

“Terlalu banyak berfikir dan semua perkara mengarut menerjah ke fikiran. Sekurang-kurangnya itu apa yang saya rasa. Tetapi percayalah, selepas semua masalah, ada kehidupan yang kuat, sihat dan bahagia yang menanti anda.

“Sebuah hidup yang lebih baik! Diri anda yang lama akan hilang, tetapi yang baharu ada di sini. Bukannya buruk, tetapi semangat yang lebih baik. Sesiapa yang berdepan ujian, ingatlah, Dia memberikan ujian paling getir kepada hamba-Nya yang paling disayangi,” tulis Adam.

Adam ialah peserta rancangan Hero Oven musim kedua siaran TV3. Adam juga merupakan pakcik kepada Fatimah @thefamily.uk yang merupakan seorang kanak-kanak yang terkenal di laman sosial kerana kecerdikan dan kepetahannya berkata-kata.