“Arwah nak bawa kami umrah ramai-ramai, tiada bos sebaik dia”

Kisah pemergian pengasas produk kecantikan Dnars Skincare, Faziani Rohban Ahmad nampaknya turut memberi kesan terhadap semua pekerjanya.

Mereka menyifatkan usahawan itu  sebagai majikan yang sering menjaga kebajikan pekerjanya dan senang berurusan.

Menurut salah seorang pekerjanya, Mohd Mahzam Ismail, walaupun Allahyarhamah tegas dalam urusan kerja tetapi dia seorang majikan yang sangat baik dan pemurah.

Menurutnya setiap hari di bulan puasa, majikannya itu akan menyediakan lauk-pauk buat pekerjanya berbuka bersama keluarga.

“Setiap hari bermula satu Ramadan, Allahyarham sediakan lauk-pauk seperti ayam percik dan kuih-muih untuk dibawa balik berbuka puasa dengan keluarga.”

Malah, semua pekerjanya dijemput untuk solat terawih beramai-ramai di rumahnya sepanjang bulan Ramadhan.

Allahyarhamah juga tidak lokek dan menyediakan beras dan barang keperluan dapur buat pekerjanya di bulan Ramadhan ini.

“Kami juga diminta datang solat tarawih beramai-ramai di rumahnya sepanjang Ramadan ini dan sebelum puasa kami diberi beras dan barang keperluan dapur,” katanya.

Bagi Mahzan tidak ada bos sebaik Allahyarham yang sangat dermawan dan ambil berat terhadap pekerjanya.

Mahzan juga memberitahu, sebelum ini Allahyarhamah berhasrat untuk membawa pekerja bersama keluarga menunaikan umrah sebelum dia menutup mata.

“Arwah nak bawa kami menunaikan umrah ramai-ramai naik satu kapal terbang. Sebelum ini pun arwah pernah bawa ramai pekerjanya menunaikan umrah.”

Malah, majikannya itu mahu membawa sekali ibu bapa pekerja untuk menunaikan umrah bersama mereka.

“Tetapi awal puasa, dia ada sebut nak bawa kami tunai umrah, nak bawa mak ayah kami bersama. Kami tak sangka dia nak pergi buat selama-lamanya”

Menurut Mahzan lagi, semua pekerja diberi bonus sehingga dua dan tiga kali setahun oleh Allahyarhamah.

Mereka sangat kagumi beliau dan jasanya dikenang sehinggakan kehilangannya pada hari ini diratapi semua.

“Kami dapat bonus dua atau tiga kali setahun, hari keluarga setahun sekali, jasanya kami sangat hargai, kehilangannya diratapi kami semua,” katanya.

Semoga segala amalan baik yang pernah dilakukannya di dunia ini menjadi bekalan di akhirat kelak.