Warga Emas Maut Dibedah ‘Pak Guard’ Menyamar Sebagai Doktor

Seorang pengawal keselamatan di Pakistan didakwa atas kesalahan menyamar sebagai doktor di sebuah hospital di Lahore.

Malah, lelaki itu juga dilaporkan telah melakukan pembedahan ke atas seorang wanita tua dan menyebabkannya meninggal dunia akibat komplikasi.

Menerusi laporan SCMP, jurucakap pihak polis memberitahu Shameema Begum yang berusia 80 tahun pada mulanya pergi ke hospital awam Mayo bagi mendapatkan rawatan bisul di punggungnya.

Semasa berada di dalam bilik pembedahan, Muhammad Waheed Butt, bekas pengawal keselamatan datang dan mengaku sebagai seorang doktor lalu melakukan pembedahan dan menghantar mangsa pulang ke rumah.

Waheed dilaporkan melakukan pembedahan tersebut bersama pembantu yang berkelayakan, kata seorang pegawai hospital kepada AFP tanpa mendedahkan namanya.

“Kami tidak dapat informasi pergerakan setiap doktor dari masa ke semasa kerana hospital yang besar,” kata pegawai itu lagi.

Dalam pada itu, tidak didedahkan pembedahan apa yang dilakukan, tetapi Butt menerima bayaran bagi kerjanya dan dua rawatan susulan yang dilakukan dirumah mangsa.

Namun begitu, keadaan mangsa semakin memburuk dan keluarganya bertindak membawanya ke hospital semula.

Ketika itulah, baru mereka ketahui doktor yang merawat mangsa adalah palsu.

Begum kemudiannya dilaporkan telah meninggal dunia pada hari Ahad. Mayatnya akan dibedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya.

“Pegawal itu telah didakwa dan kini dalam tahanan polis,” kata Ali Safdar, jurucakap polis Lahore, kepada AFP.

“Pelaku yang menyamar sebagai doktor itu, juga pernah membuat rondaan di bilik pesakit sebelum ini,” tambahnya.

Terdahulu, pihak berkuasa menyatakan bahawa Waheed merupakan seorang pengawal keselamatan di hospital berkenaan.

Walau bagaimanapun Waheed telah dipecat kerana cuba memeras wang dari seorang pesakit dua tahun lalu dan kini dia cuba kembali untuk mencipta masalah baru.