“Orang perempuan ni bahagia bila kita pakai cincin kahwin” Lelaki Ini Jelaskan Sebabnya

Dalam satu perkahwinan, kepercayaan dan kebahagian antara elemen terpenting dalam memastikan rumahtangga yang dibina bahagia dan berkekalan.

Ketika melangkah ke alam perkahwinan, dihari bahagia anda tersarung cincin yang membawa pelbagai makna. Cincin tanda yang dipakai kedua belah pihak iaitu pihak lelaki dan pihak perempuan.

Cincin yang dipakai bukan untuk dibuat perhiasan sahaja malah apa yang lebih penting ia sebagai tanda yang anda telah berjaya mengahwini pasangan anda.

Cincin juga sebagai simbolik anda telah berkahwin. Ia lebih kepada memberitahu umum secara tidak langsung yang anda telah berkahwin.

Oleh yang demikian, cincin juga sangat sesuai dipakai oleh lelaki tetapi tidaklah cincin emas buat lelaki. Ada pelbagai material seperti cincin silver lelaki yang dijual dipasaran.

Betapa gembiranya hati isteri jika suami memakai cincin dijari menandakan lelaki itu seperti mahu memberitahu satu dunia dia telah dimiliki oleh anda.

Mari kita lihat satu perkongsian saudara Bijen Mohd yang menceritakan bagaimana bahagia dan berbunganya hati seorang isteri apabila melihat suaminya memakai cincin dijari.

Perkongsian Dari Saudara Bijen Mohd

Tak lama lagi, insyaAllah genaplah 5 tahun usia perkahwinan saya dan isteri. Saya lihat di jari, masih tersemat cincin perkahwinan kami. Romantik bukan? (Err…)

Bagi orang perempuan, pakai cincin kahwin itu biasa. Tapi orang lelaki, cukuplah pakai sebulan atau setahun dua saja. Bukan apa, tugas harian orang lelaki membuatkannya tak berapa relevan untuk dipakai sentiasa.

Tak percaya cubalah check tangan mereka, berapa kerat saja yang masih ada cincin kahwin di jari? Boleh kira dengan jari.

Saya sebenarnya pun sama, rasa geli.

Hinggalah pada satu hari, ketika daurah kitab Syamail Muhammadiah, tuan guru mensyarahkan bab cincin Nabi.

Beliau beritahu cukup seseorang itu memakai cincin pinjam walau seketika, dia sudah pun mendapat pahala.

Maksudnya di sini, Ali jumpa Abu. Ali cakap pada Abu nak pinjam cincin dia.

Abu melurut keluar cincin dari jarinya dan memberikan kepada Ali. Ali menyambut cincin tersebut lalu menyarungkan ke jari manisnya.

Selepas beberapa saat, Ali pun menanggalkan dan memulangkannya kepada Abu dengan ucapan terima kasih.

Itupun sudah dikira mendapat pahala Sunnah. Wahh! Mudah sangat nak dapat pahala.

Lepas dengar saja perkara itu, saya terus bersemangat nak beramal. Bila balik rumah, saya pun carilah apa cincin yang ada sehinggalah terjumpa cincin kahwin dulu kala.

Saya tabahkan hati memakainya. Niat nak amal Sunnah semata-mata.

Nak dijadikan cerita, isteri bila tengok kita pakai cincin kahwin yang dia bagi dulu, hatinya pun mula berbunga-bunga. Amboi!

Rupanya orang perempuan ni bahagia bila kita memakainya. Mungkin dia rasa kita akan sentiasa ingat padanya. Ataupun sebagai petanda kepada makwe-makwe di luar sana bahawa lelaki tersebut sudahpun berpunya.

Kurang-kurang kalau lelaki dia nak pergi karaoke waktu dia tengah berpantang, tengok cincin teringatlah juga. Eh!

Tapi seriuslah. Bila pakai cincin kahwin ni rasa macam cinta tu segar-bugar saja. Rasa macam baru kahwin pun ada. Sudahlah amal Sunnah dapat pahala berganda, gembirakan isteri pun ada pahalanya.

Orang perempuan, setujukah anda?

Semoga perkongsian yang baik ini kita kongsi bersama. Bolehlah anda tag encik suami masing-masing dan kembali bercinta macam dulu-dulu.