Niat Nak Rai Ulang Tahun Perkahwinan Bertiga Terkubur, Isteri ‘Pergi’ Tinggalkan Bayi Baru 40 Hari

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Begitulah kisah pasangan ini yang terpisah mati apabila isterinya menghembuskan nafas terakhir 14 Januari lalu.

Pada 8 September lalu merupakan hari ulang tahun perkahwinan pasangan ini yang ke-2 buat Mohd Izrul Mat Taib dan arwah isteri.

Hembus nafas terakhir selepas 40 hari lahirkan cahaya mata sulung 

Kalau diikutkan, pasangan ini menyambut momen penuh bermakna tanda ikatan cinta bersama isterinya itu dengan bayi sulung mereka.

Namun, apakan daya takdir Allah mengatasi segala-galanya. Isteri Mohd Izrul iaitu Norehan Zainal pergi selamanya selepas 40 hari melahirkan cahaya mata sulung mereka, Annur Ayesha.

Awak cakap nanti sambut bertiga meriah sikit

“Hari ini (8 September) ulang tahun perkahwinan kita sayang, yang ke dua tahun. Sedih tak dapat sambut dengan awak” lapor mStar.

“Tahun lepas pun kita sambut biasa-biasa je. Awak cakap tak apa, tahun depan (2020) kita sambut bertiga meriah sikit sebab ada anak”.

Tapi tahun ini kita sambut dekat sini cuma alam kita berbeza

“Tapi tahun ini kita sambut dekat sini je cuma alam kita berbeza. Kadang hati ni rasa reda, kadang tak, saya sayang awak sangat-sangat”.

“Terbayang-bayang awak ada lagi dengan saya. Dah lama nak melawat awak tapi hari ni saya ambil cuti nak bawa Ayesha jumpa awak sebab hari ni ulang tahun perkahwinan kita,”

Itu sebahagian coretan Mohd Izrul di Facebook, sambil memuat naik beberapa keping gambarnya bersama anak sulung menziarahi pusara isterinya sempena hari ulang tahun perkahwinan mereka.

Permata hati pengubat rindu arwah isteri

Si kecil Annur Ayesha, permata hati yang menjadi pengubat rindu Mohd Izrul kepada arwah isterinya.

Perkongsian tersebut yang meraih sehingga 1,900 shares turut mengundang rasa sayu di hati netizen, dengan rata-ratanya memberi kata-kata semangat buat bapa tunggal itu.

Arwah isteri meninggal dunia akibat darah beku pada jantung

Memetik laporan dari mStar, Mohd Izrul berkata arwah isterinya meninggal dunia akibat darah beku pada jantung.

“Isteri melahirkan anak kami secara normal namun pramatang iaitu ketika 34 minggu. Dia berpantang seperti biasa”.

“Namun dua minggu sebelum meninggal dunia, dia ada mengalami tumpah darah namun tak serius”.

Rebah ketika dirumah

“Pada tanggal 13 Januari, isteri demam. Sebelum itu, dia mesej saya minta pulang kerja awal. Saya tanya sama ada dia tak sihat, tapi dia kata anak rindu”.

“Sebaik tiba di rumah pada pukul 5.30 petang, terdengar ibu menjerit beritahu dia rebah,” cerita bapa muda berusia 30 tahun ini.

Jelasnya yang berasal dari Felda Keratong, Pahang, ketika di hospital, doktor memaklumkan keadaan isterinya 50-50, dan perlu dihantar ke Hospital Kuantan untuk tindakan lanjut.

Saya ada harapan nak hidup ke

“Ketika itu dia masih sedar dan dengar apa yang doktor cakap. Kemudian dia tanya ‘saya dah tak ada harapan nak hidup ke?”.

“Dia juga minta nak lihat anak kami dan minta ahli keluarga tunggunya di Kuantan”.

“Saya minta dia berehat dan tidur, jangan fikir banyak sebab tekanan darahnya terlalu tinggi. Tapi dia enggan tidur, bimbang tak bangun lagi”.

Itu perbualan terakhir kami

“Saya dah sebak, nak menangis tapi tahan. Saya keluar sebentar, beritahu keluarga dan kawan-kawan untuk doakan isteri”.

“Sebelum doktor masukkan ubat tidur untuk hantarnya ke Kuantan, kami berbual. Saya beritahu saya ampunkan semua salah silapnya, halalkan makan minum”.

Hasrat nak lihat anak tak kesampaian

“Isteri hembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 1 pagi ketika tiba di Hospital Kuantan. Itulah perbualan terakhir kami, hasratnya nak lihat anak juga tak kesampaian,” ceritanya.


“Sungguhpun hampir sembilan bulan sejak pemergian isteri, Mohd Izrul berkata semuanya ibarat baharu sahaja berlaku dan kelibat isteri masih terbayang-bayang di ruang mata”.

Saya ambil cuti ziarah pusara sempena ulang tahun perkahwinan

“Kalau duduk seorang diri, pasti tak semena-mena perasaan rindu pada arwah timbul” ujarnya lagi.

“Tambahan pula pusaranya jauh di Felda Jengka 19, saya pula menetap di Keratong bersama ibu bapa”.

“Sebab itu saya ambil cuti untuk ziarah pusaranya ketika hari ulang tahun perkahwinan kami dengan membawa Ayesha. Terubat sedikit perasaan rindu,” ujarnya.

Lihat wajah anak terubat rasa rindu arwah isteri

Tidak menyangka perkongsiannya menjadi tular, Mohd Izrul berkata ia adalah salah satu cara untuknya meluahkan rasa rindu kepada arwah isteri.

“Lihat wajah anak pun dapat mengubat rasa rindu pada arwah isteri, selain baca dan dengar kembali mesej-mesej kami dulu”.

“Saya bersyukur, Ayesha seorang anak yang mudah nak dijaga, tak meragam. Macam faham pula”.

Anaklah kekuatan selama ini

“Ibu dan bapa yang tolong jagakan Ayesha ketika saya bekerja. Tidak dinafikan, memang akan timbul satu perasaan yang sukar nak diungkap, ada masa macam down”.

“Tapi anaklah yang jadi kekuatan selama ini, selain teringat pesan arwah yang amanahkan saya untuk menjaga anak kami dengan baik,” ujarnya mengakhiri bicara.

Semoga Mohd Izrul tabah menghadapi satu kehilangan yang besar buat dirinya dan si kecil Annur Ayesha.

Follow YOY Network di laman Instagram untuk pelbagai info dan video menarik!

 

View this post on Instagram

 

A post shared by YOY Network (@yoynetwork)