“Nak jual TV RM100 beli barang dapur,”

Berat mata memandang, berat lagi bebanan yang dipikul oleh kedua pasangan suami isteri ini apabila mereka terpaksa menjual televisyen semata-mata untuk membeli barangan keperluan dapur.

Malah, lebih menyayat hati apabila mengetahui mereka pernah tidak makan nasi hampir seminggu kerana kesempitan wang.

Hilang kerja

Menerusi laporan Utusan Malaysia, Mohd Nasir Din dan isterinya, Suhaida Mohd Ghazali menetap di kediaman mereka yang terletak di Kampung Teluk Teduri, Baling, Kedah.

Namun, siapa sangka Nasir telah hilang pekerjaan di bengkel sejak dua bulan yang lalu selepas pergelangan tangan kirinya patah ketika memasang bumbung sebuah rumah.

Isteri saya merupakan orang kurang upaya (OKU), mempunyai masalah pertuturan. Dia mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan.

Kami pernah tidak makan nasi kira-kira seminggu kerana tidak mempunyai duit untuk membeli beras dan terpaksa tunggu isteri saya yang bekerja kilang mendapat gaji hujung bulan.

Jual TV

Bercerita dengan lebih lanjut, Nasir mengakui mereka mengalami masalah kewangan dan disebabkan itu dia nekad untuk menjual televisyen jenama Sharp yang berukuran 29 inci itu.

Difahamkan, televisyen tersebut bukanlah dibeli sendiri oleh Nasir sebaliknya merupakan pemberian kakaknya.

“Saya nak jual televisyen ini, harganya hanya RM100. Duit itu nanti bolehlah saya beli barangan keperluan dapur.”

Menurut sumber, untuk menambah duit lebih menampung keperluan harian, Nasir telah mengambil inisiatif untuk menjual kerepek dan ikan pekasam yang diambil daripada rakan-rakan kerja isterinya.

Nasir mengakui memerlukan wang untuk memasang besi pada pergelangan tangannya.

Sekiranya ingin menghulur sebarang bantuan boleh menghubungi mereka di talian 010-8018540.

Terbaru, menerusi perkongsian di Facebook, Nkb Khairul Azhar mendakwa bahawa berita mengenai Nasir dan isteri yang tidak mempunyai bekalan makanan selama seminggu itu merupakan berita palsu.

“Mewakili YB Dato Ahli Parlimen Baling melawat keluarga Mohd Nasir di Kg Teluk Teduri yg viral kata dia tiada bekalan makanan selama seminggu,selepas dilawati berita ini merupakan berita palsu tidak seperti di viralkan.”