Najib Razak Minta Ketua Hakim Negara Tarik Diri, Peguam Utama Failkan Permohonan

Isu penyelewengan kuasa dan wang merupakan satu perkara yang perlu diambil serius. Hal ini disebabkan penyelewengan kuasa dan wang ini mampu menjatuhkan sesebuah negara dan masyarakat setempat.

Begitu juga baru-baru ini kecoh mengenai perbicaraan bekas Perdana Menteri Malaysia, Mohammad Najib bin Abdul Razak berkaitan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd (SRC).

Memetik laporan Harian Metro, beliau telah mengemukakan satu permohonan untuk meminta Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat agar menarik diri daripada mendengar rayuan akhir beliau.

Difahamkan, permohonan itu telah dikemukakan oleh peguam utama beliau, Hisyam Teh Poh Teik yang turut mewakili Najib Razak ketika prosiding rayuan dimulakan di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya, pagi tadi.

Berdasarkan kenyataan Hisyam, permohonan itu telah difailkan semalam.

“Yang Arif, ia dibuat dengan penuh rasa hormat berdasarkan isu perundangan.

“Arahan kami terima adalah untuk memfailkan permohonan ini,” terangnya berhubung permohonan tersebut.

Selain itu, Hisyam juga menyatakan bahawa pihaknya tidak akan mengemukakan sebarang hujahan kecuali membabitkan permohonan berkenaan.

Pada masa yang sama, Tengku Maimun yang mengetuai panel lima hakim itu memerintahkan Hisyam agar mengemukakan hujah berkaitan dengan permohonannya itu.

Selain daripada Hakim Tengku Maimun, panel lima hakim terdiri daripada Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah.

Dikatakan, hari ini Mahkamah Persekutuan dijadualkan untuk mendengar kembali sambungan hujahan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman bagi kesalahan penyelewengan wang RM 42 juta dana milik SRC.

Sekadar info, Najib Razak telah melafazkan sumpah laknat yang menyatakan bahawa beliau tidak terlibat dengan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd (SRC).

Sumpah laknat itu telah dilaksanakan di Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur, kelmarin.

Sebelum sumpah laknat dilakukan oleh beliau, telah diadakan solat Isyak berjemaah dengan beberapa pemimpin UMNO yang lain termasuk Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Selesai solat Isyak, Ahli Parlimen Pekan dan kariah melaksanakan solat hajat dan bacaan doa munajat sebelum Najib Razak melafazkan sumpah laknat tersebut.

Solat hajat dan bacaan doa munajat itu telah dijalankan bagi merujuk proses rayuan akhir berkait dengan kes Najib Razak di Mahkamah Persekutuan yang bakal berlangsung.