Sumpah Laknat Najib Razak Dilaksanakan, Nafi Terlibat Kes Penyelewengan SRC

Jenayah kolar putih seperti rasuah dan penyelewengan kuasa berpunca daripada sikap tamak haloba seseorang. Seperti yang kita tahu, jenayah ini boleh mengundang kepada kejatuhan sosial dan ekonomi di sesebuah negara.

Menerusi laporan Harian Metro, bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak telah melafazkan sumpah laknat pada malam tadi yang menyatakan bahawa beliau tidak terlibat dengan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd (SRC).

Beliau memaklumkan dalam sumpah laknat itu bahawa beliau tidak pernah mengetahui secara khusus atau sebaliknya bahawa dana sebanyak RM 42 juta itu datangnya daripada syarikat SRC secara langsung atau tidak.

Sumpah laknat itu telah diadakan di Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur malam tadi.

“Kedua, aku tidak pernah menerbitkan atau bersetuju untuk mewujudkan syarikat SRC untuk tujuan merangkumkan apa-apa dana bagi tujuan peribadi atau keluargaku.

“Ketiga, aku tidak pernah mengarahkan mana-mana anggota pengarah atau mana-mana pegawai SRC untuk menyelewengkan apa-apa dana syarikat SRC ke dalam akaun bank aku untuk apa-apa tujuan.

“Keempat, aku tidak pernah terlibat dalam mesyuarat Kabinet untuk meluluskan jaminan-jaminan kerajaan bagi pinjaman Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) sebanyak RM 4 billion kepada syarikat SRC bagi tujuan aku mendapatkan habuan haram sebanyak RM 42 juta tersebut,” lafaz beliau dalam acara sumpah laknat itu.

Beliau menunaikan Solat Isyak dengan beberapa pemimpin UMNO yang lain termasuk Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Usai solat Isyak, Ahli Parlimen Pekan itu dan kariah terus melaksanakan solat hajat dan bacaan doa munajat sebelum Najib melafazkan sumpah laknat tersebut pada malam itu.

Difahamkan, solat hajat dan bacaan doa munajat itu telah dijalankan bagi merujuk proses rayuan akhir berkait dengan kes Najib di Mahkamah Persekutuan yang dijadualkan bakal berlangsung.

Pada 18 Ogos yang lalu, Najib telah mengemukakan rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM 210 juta bagi kes penyelewengan dana RM 42 juta milik SRC.

Sebelumnya pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur juga telah memutuskan bahawa beliau bersalah atas satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah.

Menerusi keputusan mahkamah, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali telah menjatuhkan hukuman walau bagaimanapun membenarkan permohonan untuk ditangguhkan sementara menunggu rayuan.

Pada 8 Disember tahun lalu pula, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib dan mengekalkan sabitan ke terhadapnya.