Murid Perempuan Dirempuh Kereta Mangsa Tembak di Banting

Seorang pelajar perempuan Sekolah Menengah Telok Datuk, Banting, cedera selepas dirempuh kereta yang dipercayai sedang melarikan diri dari dikejar sekumpulan gangster.

Ketika kejadian berlaku di hadapan sekolah pelajar perempuan terbabit, berdasarkan gambar yang dikongsikan mangsa telah terbaring kesakitan sambil ditemani beberapa orang awam.

Berita tersebut mula tular di laman Facebook menerusi akaun seorang wanita bernama Siti Kamsari yang memaklumkan mengenai kejadian tersebut.

Sembilan das tembakan dilepaskan

Menerusi laporan Harian Metro, sekurang-kurang sembilan das tembakan dilepaskan oleh dua suspek bermotosikal yang menyerang seorang ahli perniagaan dan pengawal peribadinya dalam kejadian di Jalan Sultan Abdul Samad, dekat sini tengah hari tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superitendan Azizan Tukiman berkata, ia berdasarkan penemuan sembilan kelongsong peluru di lokasi kejadian.

“Bagaimanapun, polis masih belum pasti berapa banyak peluru yang mengenai dua mangsa terbabit yang kini masih menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang”.

Ketiga pelajar kini dirawat di Hospital Banting

“Berhubung pelajar yang dirempuh kereta mangsa, ketiga-tiga mereka tidak mengalami kecederaan serius dan kini menerima rawatan di Hospital Banting,” katanya tadi.

Jelas beliau, kejadian tembakan sekitar jam 12.45 tengah hari itu berlaku kira-kira 100 meter dari Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Datok.

Katanya, ketika kejadian pelajar terbabit menunggu di tepi jalan selepas selesai sesi persekolahan sebelum dirempuh mangsa yang hilang kawalan selepas ditembak.

Motif kejadian berkemungkinan masalah perniagaan dan pergaduhan

“Sebelum kejadian tembakan berlaku, dua mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah selepas minum di sebuah kedai di Sungai Manggis, Banting”.

“Berdasarkan siasatan awal, polis tidak tolak kemungkinan tembakan berlaku akibat masalah perniagaan dan pergaduhan antara dua kumpulan,” katanya.

Selain itu, Azizan meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian tembakan itu tampil di balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat untuk membantu siasatan.