Insiden Keracunan Karbon Monoksida, Aqilah Akhirnya Sudah Boleh Bercakap

Insiden empat sahabat keracunan karbon monoksida selepas pulang bercuti menyayat hati apabila 3 dari mereka disahkan meninggalkan dunia.

Dalam kejadian tersebut seorang lagi mangsa yang terselamat Nor Aqilah Mohd Safwan, 21, masih mendapat rawatan dihospital.

Mangsa terakhir sudah boleh bercakap

Memetik laporan Harian Metro, Nor Aqilah akan dipindahkan ke wad biasa jika keadaan kesihatannya bertambah baik.

 

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, polis dimaklumkan mangsa kini sudah boleh bercakap walaupun masih tidak lancar.

Nor Aqilah sudah boleh makan

“Nor Aqilah tidak boleh bangun lagi tetapi dia sudah boleh bercakap walaupun tidak lancar. Mangsa juga sudah boleh makan, tetapi setakat ini dia hanya dapat menikmati bubur nasi”.

“Jika keadaannya bertambah baik, maka dia boleh ditukarkan ke wad biasa,” katanya, di sini, hari ini.

Sedar dari koma selepas seminggu jalani rawatan

Semalam, Nor Aqilah dilaporkan sedar daripada koma selepas seminggu menjalani rawatan di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Kuala Lumpur.

Ketika kejadian 8.30 malam 16 September lalu, empat mangsa iaitu Sharifah Fariesha Syed Fathi, Ayuni Shazwanie Shabri serta dua beradik kembar Nor Adilah dan Nor Aqilah masing-masing berusia 21 tahun, berhenti rehat hingga tertidur dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) di tempat letak kereta stesen minyak di Sama Gagah di Lebuhraya PLUS arah Utara, di sini.

Mereka dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing

Mereka yang dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di Sungai Petani dan Gurun, Kedah, bagaimanapun ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri pada 1 pagi keesokkannya.

Difahamkan, Sharifah Fariesha maut di lokasi kejadian manakala Ayuni Shazwanie pula meninggal dunia dalam perjalanan menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Tidak lama kemudian, Nor Adilah dilaporkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Angkatan Tentera Lumut, Perak.

Nor Aqilah dibawa ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan

Manakala, Nor Aqilah dibawa ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Kuala Lumpur.

Laporan bedah siasat ke atas tiga mangsa yang maut mendapati punca kematian mereka disebabkan terhidu karbon monoksida hingga menyebabkan kegagalan pelbagai organ berfungsi.

Kami doakan semoga Nor Aqilah sembuh seperti sediakala dan takziah diucapkan kepada  keluarga mangsa korban keracunan karbon monoksida.