Menyentuh Hati dan Sayu, Wanita Kongsi Cerita ‘Nasi Lemak Kena Benti Keje’

Sejak 18 Mac 2020, kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan ekoran daripada penularan wabak pandemik Covid-19.

Apa yang menyedihkan, wabak pandemik ini turut memberi impak kepada perkembangan ekonomi bukan sahaja kepada negara kita malah seluruh dunia berdepan situasi yang sama.

Dapat kita lihat banyak syarikat mahupun organisasi terpaksa mengambil langkah memberhentikan pekerja mereka kerana kekangan kewangan yang begitu meruncing.

Diberhentikan kerja sejak pertengahan September

Ramai diantara kita turut terkesan dengan langkah mengejut itu dan terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan demi kelangsungan hidup, termasuk wanita ini.

Wanita ini mahu dikenali sebagai Syahinaz yang berusia 24 tahun dan mula berjinak-jinak berniaga nasi lemak aneka lauk selepas diberhentikan kerja dari sebuah syarikat pengurup wang pada pertengahan September lalu.

Nasi lemak kena benti keje

Apa yang menarik perhatian ramai adalah nama gerai nasi lemaknya yang unik sehingga menjadi tular di media sosial.

Memetik laporan mStar, Syahinaz berkata nama gerainya, Nasi Lemak Kena Benti Keje ini tercetus secara spontan ketika suaminya berbual-bual dengan rakan-rakan.

“Suami sembang dengan kawan-kawan dia dan dari situ terkeluar nama Nasi Lemak Kena Benti Keje”.

ia bukanlah bertujuan untuk meraih simpati 

“Masa mula-mula suami usulkan tu, rasa macam lucu tapi mengapa tidak untuk cuba saja”.

“Tapi jangan silap faham. Ia bukan bertujuan nak raih simpati atau sebagainya cuma kami guna sebab rasa lucu dan unik. Tahu-tahu viral pula di media sosial”.

“Suami yang mula perasan dulu masa dia tengah scroll Facebook, tiba-tiba nampak banner tu macam gerai kami. Mungkin ada yang ambil gambar dan post,” katanya.

Pelbagai jenis lauk dijual

Menurut Syahinaz, dia mula berniaga nasi lemak sejak 1 Oktober lalu di Taman Koperasi Cuepacs, Batu 12, Kajang bermula 6 petang hingga 10 malam.

Antara lauk yang menjadi menu utama adalan rendang kerang, rendang daging, sambal udang, ayam berlada dan ayam goreng yang dijual antara RM2 hingga RM6.

“Selepas kena berhenti kerja, terfikir nak buat sesuatu kerana nak bantu ekonomi keluarga”.

Seorang saja yang bekerja dalam keluarga memang tak cukup

“Sekarang ni kalau kerja seorang saja memang tak cukup. Jadi saya fikir untuk buka gerai nasi lemak sebab suka bagi orang makan. Lagipun ia tak ambil masa yang lama,” ujar ibu kepada seorang cahaya mata berusia dua tahun ini.

Syahinaz turut berkongsi serba sedikit mengenai situasi sukar yang dilaluinya gara-gara diberhentikan kerja, Syahinaz berkata dia reda sungguh pun ia perkara yang amat menyedihkan.

Saya faham syarikat terpaksa ambil langkah ini

“Empat tahun saya kerja di syarikat pengurup wang di Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Siapa yang tak sedih”.

“Selepas kerajaan benarkan sektor ekonomi kembali beroperasi Mei lepas, syarikat terjejas teruk sebab tak ada pelancong”.

“Beberapa bulan datang kerja, tapi seperti tak buat apa-apa sebab tak ada pelancong pun. Saya faham syarikat terpaksa ambil langkah ini akhirnya”.

Tak perlu segan kalau terpaksa cari rezeki dalam bidang lain

“Saya sememangnya bersedia dengan apa jua kemungkinan masa itu. Tak sangka sebelum ini tengok orang lain yang kena, tapi kali ini giliran saya pula”.

“Namun saya percaya setiap yang berlaku ada hikmahya. Contohnya, saya dapat luangkan masa dengan anak”.

“Bagi mereka yang senasib, usah bimbang. InsyaAllah rezeki ada di mana-mana. Tak perlu nak segan kalau terpaksa cari rezeki dalam bidang lain, yang penting usah putus asa,” ujarnya lagi.

Semoga perkongsian dari Syahinaz ini dapat memberi semangat kepada mereka yang berada dalam situasi yang sama dengannya ketika ini.