Menduduki Carta Ketiga, Rakyat Malaysia Dicatat Antara ‘Paling Malas’ Berjalan Di Dunia

Berjalan kaki merupakan suatu bentuk senaman ringan yang boleh dilakukan di mana-mana sahaja, dan bila-bila masa. Aktiviti berjalan kaki ini ternyata memberikan banyak manfaat kesihatan terhadap diri kita dalam semua peringkat umur dan tahap kecergasan.

Pun begitu, Malaysia merupakan antara negara paling malas berjalan kaki di dunia mengikut penyelidikan yang telah dilakukan oleh penyelidik di Universiti Stanford.

Berdasarkan laporan tempo.co, Indonesia merupakan negara yang paling malas berjalan dengan purata orang Indonesia berjalan hanya 3,513 langkah sehari.

Diikuti pula dengan negara Malaysia, yang hanya berjalan dengan purata 3,963 langkah sehari dan menduduki tempat ketiga selepas Indonesia.

Difahamkan, penyelidik Universiti Stanford menggunakan data minit demi minit daripada 700,000 orang di seluruh dunia yang menggunakan aplikasi Argus, yang merupakan sebuah aplikasi telefon bimbit yang merekodkan aktiviti setiap pengguna.

Hasil kajian mendapati rakyat Hong Kong mendapat tempat pertama sebagai negara paling rajin berjalan kaki.

Hal ini dapat dibuktikan dengan purata berjalan kaki penduduk Hong Kong mencecah 6,880 langkah atau 6 km sehari.

Seterusnya ialah penduduk China, di mana purata orang berjalan 6,189 langkah setiap hari.

Diikuti di tempat ketiga ialah penduduk Ukraine (6,107), keempat Jepun (6,010) dan kelima ialah Rusia (5,969).

Sebaliknya, penduduk Indonesia telah dinobatkan tempat pertama dalam kategori negara paling malas berjalan kaki dengan purata berjalan kaki sebanyak 3,513 langkah sehari.

Selepas Indonesia, diikuti dengan penduduk Arab Saudi (3,807), Malaysia (3,963) dan Filipina (4,008).

Kajian yang telah diterbitkan dalam jurnal Nature itu, turut dipaparkan jurang di setiap negara antara penduduk paling aktif dan malas.

Bermaksud, semakin besar jurang dalam negara, semakin besar kadar obesiti dalam kalangan penduduk kawasan tersebut.

Menurut Tim Althoff, salah seorang penyelidik dalam kajian itu, memberikan contoh negara Sweden yang mempunyai jurang aktiviti rendah antara malas dan rajin membuktikan bahawa kawasan itu mempunyai kadar obesiti yang lebih rendah.

Sekadar info, baru-baru ini juga Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bercadang untuk menutup Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) daripada semua kenderaan pada setiap Ahad, bermula 28 September depan.


Menerusi laporan Berita Harian, perkara ini dicadangkan bagi memupuk budaya berjalan kaki dalam kalangan masyarakat dan DBKL kini sedang melakukan sesi libat urus dengan pihak di kawasan terbabit bagi membolehkan penutupan jalan itu direalisasikan.

“Kami hendak tutup Jalan TAR dari simpang Jalan Esfahan sehingga ke Jalan Tun Perak, bermula 6 pagi hingga 12 tengah malam untuk rakyat membudayakan amalan berjalan kaki,” jelas Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias mengenai usaha membudayakan aktiviti berjalan kaki dalam kalangan masyarakat Malaysia.