Lelaki Sumbat 3 PATI Dalam Bonet Kereta, Ditahan Sewaktu Sekatan Jalan Raya

Hari demi hari, kes kedatangan pendatang asing tanpa izin (PATI) semakin meningkat seperti cendawan tumbuh selepas hujan.

Berikutan kenaikan PATI ini, terdapat pelbagai kesan yang timbul di negara kita antaranya peluang pekerjaan semakin berkurang, peningkatan kadar jenayah, dan seumpamanya.

Memetik laporan Kosmo, seorang lelaki ditahan di Shah Alam akibat menyeludup enam PATI warga Myanmardari Kota Bharu, Kelantan ke Klang.

Kegiatan lelaki tersebut terbongkar apabila dia ditahan di sekatan jalan raya (SJR) yang dijalankan di Persiaran Tun Teja Alam Impian, Shah Alam semalam.

Difahamkan, kesemua yang ditahan termasuk tekong darat tersebut berumur antara 18 hingga 36 tahun kira-kira pada jam 1 tengah hari.

Sewaktu pemeriksaan dibuat, tiga PATI wanita didapati disumbat di dalam bonet kereta jenis Nissan Teana berwarna hitam yang dipandu oleh lelaki tersebut.

Lelaki itu dipercayai sudah memandu sejauh kira-kira 480 kilometer dengan keadaan di mana ketiga-tiga wanita PATI tersebut dihimpitkan di dalam bonet bersama-sama.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim menyatakan bahawa siasatan mendapati lelaki tempatan berusia 31 tahun itu dibayar upah sebanyak RM 300 bagi setiap seorang PATI yang dibawa dari Kota Bharu untuk bekerja di Klang, Selangor.

Menurut lelaki tersebut, upah itu diberikan daripada individu yang dikenali dengan nama ‘Pok Sey’.

“Ketika pemeriksaan SJR dilakukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik daerah ini didapati tiga lelaki warga Myanmar berada di bahagian penumpang belakang manakala tiga lagi wanita disembunyikan dalam bonet belakang kereta.

“Hasil pemeriksaan mendapati semua warga asing itu tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri,” jelas Mohd. Iqbal berhubung kes tersebut.

Mohd. Iqbal turut memaklumkan bahawa pemeriksaan lanjut mendapati beg yang dipakai oleh lelaki itu menemui peralatan menghisap dadah.

Tambahan lagi, sebungkus plastik mengandungi 50 biji pil berwarna merah yang dipercayai pil kuda juga dijumpai sewaktu pemeriksaan itu dilakukan.

“Suspek warga tempatan itu kini direman 28 hari mengikut Seksyen 4 (5) Akta Kesalahan Keselamatan (langkah-langkah Khas) 2012 manakala enam PATI Myanmar direman selama 14 hari.

“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 26A Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” terang Mohd. Iqbal.