“Masa tu sangat panas..” Guna Fail Payungkan Nenek, Wanita Melayu Ini Ikhlas Bantu Tak Kira Bangsa

Seorang wanita yang bertindak melindungi warga emas daripada terkena matahari dengan menggunakan fail ketika beratur di luar sebuah bank semalam telah meraih pujian netizen dari pelbagai bangsa di media sosial terutamanya Facebook.

Foto tersebut dimuat naik oleh Privitha Maimaran iaitu cucu kepada warga emas itu sebelum tular di laman Facebook.

“Bagi pihak nenek & keluarga saya, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada wanita Melayu yang memegang fail di tangannya yang melindungi nenek saya dari terik matahari semasa mereka menunggu lama di luar bank.

“Sebab mengapa saya berkongsi ini, dalam tempoh ini, masih ada orang di luar sana yang tidak pernah membezakan antara kaum dan menghormati orang tua dari pelbagai bangsa.”

Menerusi ruangan komen, wanita berkenaan yang dikenali sebagai Rina memberitahu, dia gembira dapat melindungi warga emas tersebut kerana cuaca panas melampau ketika itu apatah lagi perlu menunggu lama di luar bank.

“Kepada Privitha Maimaran, jangan risau saya sangat gembira dapat menolongnya. Ianya sangat panas pada ketika itu.

“Sampaikan salam saya kepada makcik itu.”

Boleh dikatakan semua netizen bangga dan memuji sikap murni dan prihatin wanita itu yang tampil berbuat baik tanpa mengira agama serta bangsa.

Malah rata-rata mendoakan Rina sentiasa dimurahkan rezeki dan berada dalam rahmat Allah SWT.