Marah Rambut Dipotong, Pelajar Lelaki Ugut Bun*h & Pukul Guru Wanita Guna Penyapu

Remaja yang cemerlang dalam akademik mahupun kokurikulum mempunyai sikap disiplin diri. Disiplin diri itu penting dalam membentuk keperibadian seseorang pelajar.

Namun lain pula dengan kes yang terjadi baru-baru ini, seorang pelajar mengugut bun*h dan memukul gurunya hanya kerana dia berang gurunya itu menggunting rambutnya yang panjang.

Berdasarkan laporan Astro Awani, seorang guru wanita berusia 52 tahun dipukul oleh seorang pelajar lelaki yang bertempat di sebuah sekolah menengah di Hulu Selangor.

Pelajar berusia 15 tahun ini didakwa ugut mahu membun*h dan memukul guru berkenaan dengan menggunakan batang penyapu.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamaruddin menyatakan bahawa kejadian pada jam 12:30 tengah hari itu terjadi apabila mangsa yang juga merupakan guru disiplin sekolah tersebut sedang membuat rondaan.

“Guru wanita berkenaan menerima laporan daripada seorang guru lain yang menyatakan pelajar lelaki berusia 15 tahun itu berambut panjang.

“Mangsa kemudian bertindak menggunting rambut pelajar tersebut,” jelas beliau dalam kenyataan pada Khamis yang lalu.

Arsad turut memaklumkan bahawa pelajar tersebut berasa geram dan marah sehingga mengugut mahu membun*h mangsa.

“Pelajar itu kemudian bertindak memukul guru wanita berkenaan dengan batang penyapu hingga menyebabkan mangsa cedera di mata kirinya,” ulas lanjut Arsad.

Jelas Arsad, pihaknya terus melakukan serbuan ke atas sebuah rumah bertindak atas maklumat, dan menahan pelajar tersebut.

Difahamkan juga, pelajar tersebut tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dilaporkan berdasarkan semakan yang telah dibuat sebelum ini.

“Hasil ujian air kencing ke atas pelajar berkenaan negatif dan semakan rekod mendapati dia tidak mempunyai rekod jenayah.

“Dia ditahan reman bermula Khamis hingga Jumaat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 dan 506 Kanun Keseksaan,” terang Arsad mengenai kejadian yang melibatkan pelajar dan guru tersebut.

Sekadar info, Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau cara berbahaya, mereka boleh ditangkap tanpa waran dan jika disabitkan kesalahan, tertuduh akan dihukum penjara yang boleh sampai 3 tahun atau disebat atau kedua-duanya sekali.

Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu penjara selama tempoh tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Walau bagaimanapun, suspek merupakan seorang pelajar dan masih dalam siasatan lanjut.