Kemalangan Libatkan Lori & Dua Buah Kereta, 3 Maut Di Lokasi Kejadian

Negara kita merupakan salah satu negara yang mempunyai rekod kematian tertinggi disebabkan kemalangan. Oleh hal demikian, semua pihak hendaklah bekerjasama antara satu sama lain bagi mengurangkan kes kemalangan jalan raya di Malaysia.

Menerusi perkongsian Bomba & Penyelamat Negeri Pahang, terdapat suatu kemalangan yang mengakibatkan tiga lelaki dilaporkan maut dan tiga lagi cedera.

Kejadian yang membabitkan kemalangan lori dengan dua buah kereta itu bertempat di Keratong-Bahau malam tadi.

Pasukan Bomba dari Balai Bomba Muadzam Shah segera bergegas ke lokasi kejadian untuk menyelamatkan mangsa kemalangan tersebut.

Berdasarkan laporan yang telah dibuat, kemalangan tersebut melibatkan enam individu di mana tiga individu maut akibat nahas itu.

Salah seorang daripada mangsa terbabit ialah pemandu lori, dan dua individu lagi menaiki kereta jenis Proton Saga didapati maut di lokasi kejadian.

Laporan ini disahkan oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang bertugas.

Manakala, seorang lagi mangsa daripada kereta yang sama dan sebuah Perodua Axia, juga salah seorang penumpang lori tersebut mengalami kecederaan sahaja dan mendapatkan rawatan susulan.

Muhammad Roduan Bin Sudin, Pegawai Bomba Kanan II Pasukan Bomba Balai Muadzam Shah, mengatakan bahawa pasukan beliau turut dibantu oleh pasukan bomba dari Balai Bomba Chini dalam usaha mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan Rescue Tool.

Kesemua mangsa yang telah disahkan maut telah dihantar ke balai polis untuk siasatan lanjut.

Mangsa yang cedera telah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

Sekadar info, terdapat 135 kemalangan maut membabitkan 141 kematian direkodkan di seluruh negara menerusi tempoh lapan hari Op Selamat 18 dilancarkan.

Memetik laporan Harian Metro, sepanjang tempoh sama juga terdapat 12,985 kemalangan dilaporkan berlaku di seluruh negara.

“Statistik kemalangan Op Selamat 18 meningkat berbanding Op Selamat 15 pada 2019 yang mencatatkan 12,500 kemalangan dengan 128 kemalangan maut dengan 136 kematian.

“Penunggang dan pembonceng motosikal menyumbang kematian tertinggi iaitu 88 kes.

“Dalam Op Selamat 18, kematian membabitkan kereta lebih tinggi iaitu 38 kes berbanding 34 pada Op Selamat 15,” ulas Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain.

Tuntasnya, kita sebagai pengguna jalan raya haruslah menggunakan jalan raya dengan cara yang berhemah dan mematuhi peraturan jalan raya dalam usaha mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.