Hidang Menu ‘Berperisa’ Najis Tikus, Restoran Terkenal di Penang Diarah Tutup

Kebersihan makanan amat penting lebih-lebih lagi makanan yang dijual dan dimasak dari luar. Hal ini disebabkan penyakit seperti keracunan makanan boleh terjadi jika aspek kebersihan makanan tidak dijaga.

Memetik laporan Harian Metro, sebuah restoran yang terkenal dengan menu mi gorengnya sejak 40 tahun lalu antara empat premis makanan diarahkan tutup oleh pihak berkuasa setelah didapati terdapat najis tikus di ruang restoran tersebut yang bertempat Tanjung Bungah, Pulau Pinang.

Setelah pemeriksaan dilakukan oleh pegawai penguat kuasa Jabatan Perlesenan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), mereka mendapati bahawa keadaan lantai dapur memasak kotor manakala perkakasan lama turut tidak dibuang dengan sempurna.

Menerusi laporan Malaysia Gazette, pihak berkuasa turut menemui najis tikus berhampiran dengan cucur yang baru siap disediakan pekerja restoran terbabit sebagai bahan dalam penyediaan mi goreng yang menjadi kegemaran pelanggannya.

M Bawani, Pegawai Kesihatan Persekitaran Jabatan Pelesenan MBPP, menyatakan bahawa hasil pemeriksaan mendapati perangkap minyak dan sisa makanan juga tidak dicuci dan diselenggara dengan baik sehingga menyebabkan air melimpah keluar hingga ke lantai dapur.

Sementara itu, di bahagian dinding dapur memasak juga tidak dicuci dan dibersihkan serta dipenuhi dengan percikan minyak dan lada.

“Najis tikus ditemukan di bahagian hadapan, ruang makan, tempat penyimpanan barang, almari penyimpanan perkakas dan dapur memasak.

“Ini adalah penutupan kali ketiga dan kita dapati premis terbabit masih tidak melakukan peningkatan kebersihan,” ulas lanjut Bawani.

Hasil pemeriksaan bagi keempat-empat premis makanan itu mendapati tidak mematuhi kebersihan makanan dan diberikan notis penutupan selama 14 hari mengikut Undang-Undang Kecil Establishment Makanan 1991.

Menurut Bawani lagi, pemeriksaan terhadap restoran yang mengamalkan konsep beralaskan daun pisang di Jalan Utama juga mendapati terdapat lipas dan tikus berkeliaran di sekitar dapur dan tandas premis tersebut.


Bukan itu sahaja, bau hancing tandas juga dapat dihidu ketika berada di kawasan dapur.

Sekadar info, premis berkenaan sebenarnya sudah lima kali dikenakan kompaun atas pelbagai kesalahan melibatkan aspek kebersihan tetapi masih tidak menunjukkan apa-apa perubahan.

“Manakala pemeriksaan di premis makanan ayam goreng di jalan yang sama juga menemukan puluhan lipas keluar dari tempat penyimpanan cili kisar.

“Keseluruhan pemeriksaan terhadap semua premis mendapati pemiliknya tidak melakukan kerja kawalan serangga sehingga menyebabkan urungan nyamuk, tikus dan lipas.

“Selain perangkap minyak yang tidak sempurna didapati ada pengendali makanan tidak mengambil suntikan typoid,” tambah Bawani.