Malaysia Catat Tempat Ke-21 Jalan Raya Terbaik Dunia, Mengalahkan Kedudukan Negara Maju Lain

Jalan raya merupakan kemudahan yang sangat penting kerana setiap warga awam menggunakan jalan raya setiap hari sepanjang tahun. Timbul juga sebelum ini beberapa isu mengenai tahap kualiti jalan raya di Malaysia yang agak teruk.

Walau bagaimanapun, kenyataan tersebut dapat disangkal apabila Malaysia berjaya mencatatkan tempat ke-21 bagi kualiti jalan raya terbaik di dunia.

Memetik laporan Utusan Malaysia, statistik ini direkodkan melalui sebuah portal statistik terkenal antarabangsa iaitu The Global Economy, yang menyatakan bahawa kualiti jalan di Malaysia berada di kedudukan ke-21 di dunia mengalahkan negara maju yang lain seperti Australia, Britain, dan New Zealand.

Menerusi data statistik tersebut, tahap jalan raya di Malaysia antara yang terbaik iaitu mempunyai mata sebanyak 5.3 mata daripada julat keseluruhan tujuh mata untuk posisi yang tertinggi.

Berdasarkan portal berkenaan, Singapura mempunyai kedudukan yang lebih tinggi dengan mata sebanyak 6.5 mata diikuti negara Belanda, Switzerland, Hong Kong, Jepun, Austria, Portugal, Emiriah Arab Bersatu, Korea Selatan, dan Oman.

Manakala bagi kedudukan tahap kualiti jalan raya teruk di dunia melibatkan negara Mauritania dengan mata sebanyak 1.9 mata, diikuti dengan negara Madagascar, Yaman, Haiti, Kongo, Angola, Mozambique, Guatemala, Cameroon dan Nigeria.

Di bahagian Asia Tenggara, Malaysia menduduki posisi kedua selepas Singapura diikuti dengan negara Brunei (ke-30), Thailand (ke-56), Indonesia (ke-59), Laos (ke-86), Filipina (ke-87), dan Vietnam (ke-104).

Namun begitu, data statistik yang dikongsikan itu merupakan data yang dikumpul pada tahun 2019.

Sebaliknya untuk tahun 2020 dan 2021, masih belum dikemas kini lagi oleh portal berkenaan.

Mengikut statistik yang pernah dikeluarkan pada tahun 2007, Malaysia pernah menduduki kedudukan yang lebih tinggi iaitu tempat ke-14 di dunia.

Berdasarkan statistik tersebut, kedudukan yang dicapai oleh Malaysia kini hakikatnya sederhana sahaja berbanding dengan kedudukan yang pernah dicapai oleh negara ini pada tahun sebelumnya, 2007.

Pada tahun 2006, ketika indeks statistik ini mula diterbitkan, Malaysia menduduki posisi ke-15 dan kemudian menjadi lebih teruk dengan pernah mencecah tempat ke-27 pada tahun 2012.

Mutu jalan raya negara kita ini didapati beransur menjadi lebih baik menjelang tahun-tahun berikutnya, iaitu ke-23 (2013), ke-19 (2014), ke-15 (2015), ke-18 (2016), ke-23 (2017) dan ke-19 (2018).

Pentadbir The Global Economy turut menjelaskan bahawa data tahunan diperoleh itu berdasarkan komponen kualiti jalan yang diterbitkan oleh Indeks Daya Saing Global.

Rumusannya, maklumat dipaparkan dalam senarai indeks tersebut juga telah mengambil kira laporan mengenai lebih 64,000 jalan berlubang yang ditampal di seluruh Malaysia pada setiap tahun.