Denda Hingga RM10Ribu, Hukuman ‘Mat Rempit’ Bakal Ditambah Cetus Perdebatan Warga Netizen

Kegiatan lumba haram semakin aktif dijalankan tahun demi tahun. Terdapat pelbagai impak negatif yang timbul akibat aktiviti yang tidak bermoral ini.

Oleh itu, pihak yang bertanggungjawab telah menyuarakan pendapat mereka berkenaan cara untuk mengatasi masalah ini.

Menerusi laporan Berita Harian, hukuman terhadap ‘mat rempit’ akan ditambah, ibu bapa juga turut sama harus bertanggungjawab.

Difahamkan, Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 akan dipinda oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) buat kali ketiga, bagi menangani isu lumba haram di negara ini.

Susulan pindaan tersebut, antara cadangan yang diusulkan ialah menaikkan kadar denda minimum daripada RM 300 kepada jumlah di antara RM 5,000 hingga RM 10,000 selain hukuman penjara terhadap mat rempit, selain tanggungjawab ibu bapa terhadap anak bawah usia 18 tahun.

Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak, menyatakan bahawa tindakan bukan sahaja dibuat terhadap penonton kegiatan berkenaan, malah tindakan tegas juga akan diambil terhadap pemilik bengkel yang terlibat dalam pengubahsuaian motosikal bagi tujuan kegunaan lumba haram tersebut.

Menurut beliau, pindaan itu dibuat ekoran terjadinya satu insiden di mana membabitkan lima orang maut dalam kemalangan melibatkan motosikal di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di Georgetown pada bulan lalu.

Perbincangan di antara kementerian bersama-sama Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga dilakukan bagi membendung kegiatan itu secara kondusif dan berkesan.

“Hasil perbincangan membawa kepada langkah penyelesaian jangka pendek serta jangka panjang iaitu pemindaan akta berkenaan dan sepatutnya dibentang di Parlimen pada Oktober, namun tidak sempat kerana laporan penuh kemalangan baru sahaja diterima.

“Ia akan dibuat secara menyeluruh, bukan sahaja membabitkan pelumba haram dan mat rempit tetapi kepada semua yang berkenaan.

“Sebelum ini kita sudah buat pindaan akta bagi menangani isu pemandu mabuk serta dilihat berjaya mengurangkan kes itu dan pindaan APJ 1987 juga akan capai matlamat,” jelas beliau.

Berdasarkan cadangan pindaan yang dibuat, rata-rata netizen bersetuju dengan cadangan tersebut di ruangan komen laman sosial Facebook Buletin TV3.

Bukan itu sahaja, ada juga warganet yang meluahkan pendapat mereka agar pemandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah juga harus diambil tindakan oleh pihak yang berkenaan.

Antara komen netizen:

“Terbaik,saya sokong sepenuhnya”

“setuju naik kan denda rampas lesen memandu dan penjarakan mereka sekiranya berlaku kemlangan berpunya dari merempit.”


“#pdrmmalaysia pemandu mabuk dan pemandu pengaruh dadah kena juga Saman hukuman yg berat . SILA AMBIL TINDAKAN terhadap pemandu seperti ini. Sekian terima kasih.”

“Tambah sekali akta pemandu mabuk pun merbahaya jugak, merbahayakan org lain…up terus sekali..”

Video Buletin TV3: