Long Tiger Akhirnya Berjaya Diberkas

Selepas 13 hari bersembunyi, lelaki berketurunan Rohingya dikenali sebagai Long Tiger yang lolos dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak pada 15 Disember lalu diberkas polis.

Difahamkan, Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab Hamid, 32, ditahan dalam operasi khas yang dijalankan sekitar utara.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dijangka mengadakan sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor esok.

Dalam kejadian pada pukul 11.55 pagi, 15 Disember lalu, Ab. Hamim bertindak meloloskan diri melalui pintu utama Mahkamah Majistret Tangkak sebelum perbicaraan bermula.

Lelaki itu diambil dari penjara Sungai Udang, Melaka untuk perbicaraan dibawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, sepasang suami isteri warga tempatan berusia 41 dan 43 tahun ditahan selepas yang disyaki rakan subahat lelaki Rohingya dikenali sebagai Long Tiger yang lolos dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak, Johor pada 15 Disember lalu.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kedua-dua suspek ditahan di Balai Polis Bukit Gambir dan direman selama empat hari hingga Jumaat.