Lebih RM400K Lesap, Cikgu Ditipu Sindiket Macau Scam

Kadar kes penipuan wang atau ‘scammer’ ini semakin meningkat tahun demi tahun di seluruh dunia. Termasuklah negara Malaysia, tidak terlepas menjadi mangsa sindiket penipuan wang ini.

Berdasarkan laporan Harian Matro, seorang guru wanita di Setiu didapati mengalami kerugian sebanyak RM 448,000 selepas dipercayai ditipu oleh sindiket ‘Macau Scam’.

Difahamkan, kejadian tersebut telah berlaku pada 22 Mac lalu apabila mangsa yang pada ketika itu berada di sebuah sekolah.

Secara tiba-tiba, mangsa menerima panggilan daripada individu tidak dikenali mengaku sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin menyatakan bahawa pemanggil tersebut mendakwa mangsa yang berusia 45 tahun itu mempunyai tunggakan cukai dan mempunyai syarikat yang didaftarkan di bawah namanya.

Walau bagaimanapun, mangsa telah menafikan dakwaan pemanggil tersebut.

Menerusi pernyataan mangsa, panggilan mangsa kemudian disambungkan dengan seorang individu yang mengatakan dirinya daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuantan.

Mangsa dimaklumkan bahawa pegawai polis dari Bukit Aman turut mendakwa bahawa mangsa terbabit dalam pengubahan wang haram.

“Mangsa juga didakwa terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah sebelum diarahkan memuat turun aplikasi Bank Negara Malaysia (BNM).

“Mangsa diminta mengisi maklumat peribadi termasuk maklumat mengenai bank-bank miliknya di dalam aplikasi berkenaan sebelum diarahkan membuat pinjaman kononnya wang berkenaan adalah dana bersih untuk siasatan yang dinyatakan.

“Tanpa mengesyaki apa-apa, mangsa membuka akaun sebelum pinjamannya diluluskan dan sekali lagi diminta mengisi maklumat peribadi ke dalam aplikasi BNM,” terang Afandi mengenai kes tersebut.

Jelas Afandi, mangsa memaklumkan bahawa mangsa mengesyaki dirinya telah ditipu selepas melayari laman web IPK Kuantan yang menunjukkan adanya aktiviti penipuan seperti yang telah dialaminya pada 11 Ogos lalu.

Menurut keterangan Afandi, mangsa yang mengalami kerugian sebanyak RM 448,000 telah membuat laporan di Balai Polis Penarik.

Kes ini masih disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas tuduhan menipu.

“Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dan tidak mudah percaya sekiranya menerima panggilan telefon daripada individu yang mengaku daripada mana-mana agensi kerajaan atau bank.

“Jangan panik sekiranya menerima panggilan sedemikian dan buat semakan dengan pihak yang berkenaan terlebih dulu selain tidak sewenang-wenangnya memberikan maklumat peribadi dan perbankan kepada individu tidak dikenali,” jelas beliau.