Semakin Susut & Kering Sungai Furat, Petanda Hari Kiamat Sudah Hampir

Seperti yang kita sedia maklum, Hari Kiamat itu pasti akan tiba walaupun kita tidak tahu bila ia akan berlaku. Sudah banyak tanda-tanda kiamat kecil yang dikatakan terjadi, persoalannya bilakah hari yang disebutkan di dalam Al-Quran itu akan berlaku akhirnya?

Menerusi sebuah laporan mStar yang ditulis oleh Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan, atau lebih dikenali dengan gelaran Hadi Almaghribi, beliau telah mendedahkan mengenai situasi Sungai Furat atau Sungai Euphrates yang merupakan sungai terpanjang di Asia Barat kini semakin surut.

Berdasarkan kenyataan beliau, situasi air sungai tersebut yang semakin mengering itu sangat membimbangkan dan ianya juga dikira sebagai salah satu tanda Hari Kiamat semakin mendekati kita.

Beliau turut menyatakan bahawa jika diikutkan sejak kewafatan Rasulullah S.A.W, sudah banyak tanda-tanda kiamat yang telah berlaku seperti berlakunya bencana-bencana, kekacauan dan seumpamanya.

Namun apa yang menarik perhatian ialah surut dan keringnya Sungai Furat ini merupakan salah satu tanda Hari Kiamat itu akan tiba.

Sabda Baginda Rasulullah: Tidak terjadi hari kiamat itu sehingga Sungai Furat menjadi surut airnya sehingga ternampak sebuah gunung daripada emas. Ramai orang berperang untuk merebutkannya. Maka terbunuh sembilan puluh sembilan daripada seratus orang yang berperang. Dan masing-masing yang terlibat berkata ‘mudah-mudahan akulah orang yang terselamat itu’. – [HR Muslim 5152].

Sekadar info, Sungai Furat atau Sungai Euphrates mengairi tiga negara, iaitu Turki, Syria dan Iraq.

Sehingga ke hari ini, sungai ini masih membekalkan air bersih kepada jutaan pengguna sekitar Asia Barat.

Turut dikongsikan gambar yang dikongsikan oleh Agensi Angkasa Eropah memaparkan perbezaan antara dua gambar satelit yang dirakam pada 5 Mei 2020 dan 7 Mei 2021.

Berdasarkan gambar tersebut, dapat kita lihat terdapat penurunan paras air di empangan Tishrin, Syria.

Di dalam hadis yang disebutkan oleh Rasulullah S.A.W, mengenai gunung daripada emas kata para alim ulama air Sungai Furat akan menjadi sangat mahal hingga nilainya menyamai harga emas.

Bukan itu sahaja, ada pihak yang menyatakan bahawa kemungkinan di suatu saat nanti di Sungai Furat akan ditemukan telaga minyak atau lombong emas.

Namun apa yang patut dibimbangkan ialah, Sungai Furat ini disebut oleh Baginda ini sebenarnya menunjukkan bahaya yang bakal terjadi iaitu ramai orang berperang untuk merebutkannya.

Hal ini demikian kerana kata ulama bahawa manusia akan datang dari pelbagai pelusuk dunia untuk berlumba-lumba memiliki kekayaan daripada Sungai Furat itu.

Oleh hal itu, kita haruslah sentiasa mengamalkan amalan yang diperintahkan oleh Allah S.W.T dan meninggalkan segala larangannya bagi persediaan untuk kita menghadapi hari tersebut yang akan datang.