Isu Premis Muslim Ambil Stok Dari Premis Bukan Islam, Ini Jawapan Mufti

Isu makanan halal merupakan isu yang hangat diperkatakan kebelakangan ini. Oleh itu, kita sebagai pembeli haruslah lebih berhati-hati ketika membuat pembelian lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan makanan kerana ia akan menjadi ‘darah daging’ kita.

Menerusi laporan Kosmo, tindakan peniaga Muslim nasi ayam dan itik di Sungai Ara, Georgetown yang tular baru-baru ini disebabkan mengambil bekalan makanan itu dari sebuah premis bukan Islam disifatkan sebagai perbuatan berdosa sekiranya benar-benar dilakukan oleh mereka.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd. Noor menyatakan bahawa pihak yang melakukan kesalahan tersebut perlu memohon ampun taubat kepada Allah S.W.T sekiranya mereka benar-benar mengambil stok ayam dan itik itu daripada premis yang bukan Islam.

“Sudah tentu mereka berdosa. Mereka kena bertaubatlah kepada Allah Taala dan memohon maaf kepada orang ramai kerana telah menipu mereka,” jawab beliau.

Berkaitan soalan mengenai keraguan orang awam apakah perlu disamak atau seumpamanya, beliau hanya menjawab ayam yang tidak disembelih itu bukannya najis sebaliknya hanya haram apabila dimakan.

“Tak payahlah nak samak. Pe­langgan hanya perlu berhenti daripada membeli nasi ayam daripada peniaga terbabit sehingga dipastikan ayam yang dijual adalah halal,” tegas beliau berhubung isu ini.

Kelmarin, kerajaan negeri Pulau Pinang telah mengarahkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) supaya menjalankan siasatan lebih mendalam ekoran dakwaan peniaga Muslim di Sungai Ara mengambil bekalan ayam dan itik mentah di premis bukan Islam.

Pada masa yang sama, Ahli Majlis Perun­ding Penjaja dan Peniaga Pulau Pinang, Sophian Mohd. Zain me­minta Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melaksanakan siasatan kes membabitkan tindakan pemilik dan peniaga Muslim gerai nasi ayam dan itik di Sungai Ara tersebut.

Menerusi pernyataan beliau, PDRM perlu membantu menyiasat sama ada kes itu membabitkan peni­puan awam atau terdapat unsur ­khianat.

“Perkara ini tak sepatutnya berlaku. Peniaga terbabit disyaki telah cuba memperdaya pengguna Muslim dengan menjual makanan yang diambil dari kedai bukan Islam.

“Sepatutnya pengusaha termasuk peniaga dan pekerja terbabit dikenakan tindakan tegas serta setimpal dengan apa yang dilakukan kerana telah menyebabkan ramai pelanggan Islam terperdaya selain marah dengan tindakan mereka,” jelasnya.