Kucing Tiba-tiba ‘Jatuh Dari Langit’ Ke Atas Kepala, Warga Emas Dirawat 23 Hari

Malang tidak berbau bagi seorang lelaki warga emas ini yang mengalami detik-detik yang mengejutkan apabila seekor kucing secara tiba-tiba ‘jatuh dari langit’ ke atas kepalanya.

Menerusi laporan Mothership.sg, insiden itu menyebabkan lelaki tersebut tidak sedarkan diri.

Di dalam satu klip video yang dimuatnaik oleh media tempatan, warga emas tersebut dilihat sedang berjalan bersama anjing peliharaannya di wilayah Heilongjiang, China.

Kucing jatuh dari langit

Walau bagaimanapun, tiba-tiba seekor kucing yang entah datangnya dari mana jatuh ke atas kepala warga emas itu.

Kemudian kucing itu beredar dengan segera dan duduk berteleku di satu sudut bangunan manakala warga emas tersebut pula dilihat tersungkur di lantai dan tidak bergerak.

Kelihatan anjing peliharaanya kelihatan sibuk menghidu rumput-rumput di situ sebelum menyedari pemiliknya tidak sedarkan diri.

Haiwan itu kemudiannya menyedari kucing yang sedang duduk di satu sudut pintu masuk bangunan dan menghampirinya.

23 hari dirawat

Menerusi laporan media tempatan, warga emas terbabit kini sedang dirawat di hospital selama 23 hari.

Malah dia terpaksa memakai pendakap leher semasa tempoh rawatannya dan juga dilaporkan menjalani fisioterapi untuk kembali sembuh.

Rupanya kucing jiran

Tidak berapa lama kemudian, kucing itu telah berjaya dikenal pasti sebagai haiwan peliharaan jiran warga emas terbabit dan dilaporkan jatuh dari balkoni apartmennya.

Pada mulanya, jirannya tidak menyedari kucingnya hilang sehingga orang lain memaklumkan bahawa kucing itu telah jatuh dari balkoni.

Dia mengatakan bahawa dia tidak percaya ketika melihat rakaman CCTV sehingga polis menghubunginya untuk membawa pulang kucingnya itu.

Rata-rata netizen bersimpati dengan nasib warga emas tersebut dan mempersoalkan orang sekeliling yang dilihat agak lambat untuk menghulurkan bantuan.