“Kita pasti bisa!!” Frontliners Di Indonesia Berputus Asa, Frontliners Malaysia Titip Kata Semangat

Beberapa hari lepas, tular di media sosial di mana barisan petugas hadapan Indonesia dilihat seperti sudah berputus asa.

Dengan ayat “Indonesia? Terserah!!!” menjadi trending di laman Twitter dan juga Facebook akibat daripada kekecewaan kebanyakan masyarakat di sana yang gagal mematuhi penjarakan sosial yang ditetapkan dalam membendung wabak Covid-19.

Malah, tanda pagar #IndonesiaTerserah juga trending di media sosial dengan netizen Indonesia memberi komen, sindiran, dan menggunakan meme sebagai tanda tidak puas hati kepada mereka yang tidak patuh kepada arahan pematuhan Pembatasan Sosial Berskala Besar (PSBB) yang dikeluarkan oleh kerajaan Indonesia sejak 15 Mac.

Terbaru, tular di laman sosial Facebook mengenai satu perkongsian yang dimuatnaik oleh seorang jururawat, Efey Noorfareydzah.

Menerusi perkongsian tersebut, Efey telah memuatnaik beberapa gambar yang memaparkan para frontliners Malaysia memberikan kata-kata semangat khas buat barisan hadapan Indonesia.

Ada pelbagai kata semangat disampaikan oleh mereka seperti #IndonesiaBisa, Kita Pasti Bisa dan Jangan Putus Asa, Kita Pasti Menang.


Meskipun berbeza negara, barisan hadapan Malaysia ini tetap memberikan semangat kerana tahu bahawa tanggungjawab mereka amat penting dalam membendung wabak COVID-19 daripada terus merebak.