Kes Pandu Lawan Arus, Pemandu Myvi Minta Netizen Tidak Menghukum Pemandu Kelisa

Semalam tular satu video di laman sosial Twitter mengenai sebuah kereta Perodua Kelisa memandu melawan arus di Lebuhraya Kemuning – Shah Alam (LKSA) menghala ke Pusat Bandar Shah Alam disebabkan ketiadaan kad ‘Touch n Go’.

Namun, apa yang lebih mengejutkan pemandu merupakan seorang lelaki warga emas berusia 73 tahun dikatakan kurang sihat dan baru sahaja menjalani pembedahan.

Insiden itu telah menyebabkan dua buah kenderaan terbabit kemalangan, iaitu sebuah kereta jenis Honda terbabas manakala sebuah lagi kereta Perodua Myvi bertembung dengan kereta Perodua Kelisa dipandu lelaki berusia 73 tahun itu.

Pemandu Myvi dan juga adiknya tampil memberitahu bahawa pemandu warga emas itu mempunyai masalah kesihatan dan meminta orang ramai untuk tidak menghukum beliau kerana apa yang berlaku adalah tidak disengajakan.

“Hi semua, saya pemandu Myvi itu. Harap jangan maki-maki pakcik itu ya. Pakcik tu dah umur 78 tahun dan ada masalah ingatan.”

Malah, turut berkata lanjut, mangsa sekeluarga telah memaafkan pemandu warga emas berkenaan dan redha dengan kejadian itu.

“Yang myvi tu kereta kakak saya. Harap semua jangan salahkan pakcik tu sebab pakcik dah tua sangat.

“Baru lepas operation. Keluarga kami pun dah maafkan pakcik ni. Semua dah redha maybe kakak saya tak ada rezeki time tu,”

Pada masa yang sama, anak kepada warga emas itu menyatakan selepas kejadian, bapanya dibawa balik ke rumah oleh orang awam, lalu dia membawa bapanya ke IPD Shah Alam untuk membuat laporan polis.

Menerusi laporan Harian Metro, ketiga-tiga pihak sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dan pemandu warga emas itu ditahan untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) APJ 1987 kerana memandu secara melulu.