Kematian ke-9 Berkaitan COVID-19, Doktor Perubatan KKM Korban Pertama Kakitangan Kesihatan

Hari ini satu kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan melibatkan kakitangan kesihatan KKM.

Menerusi Facebook, Ketua Pengarah KKK, Noor Hisham Abdullah mengesahkan khabar duka tersebut.

“Dukacita dimaklumkan sehingga kini, terdapat pertambahan satu (1) lagi kes kematian baru berkaitan COVID-19 telah dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan.

“Pelaporan terbaru ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia sebanyak sembilan (9) setakat ini.”

Mangsa dilaporkan kes pertama kematian melibatkan kakitangang kesihatan.

“Kes kematian kesembilan adalah merupakan kes kematian pertama di kalangan kakitangan kesihatan yang melibatkan seorang lelaki warganegara Malaysia (kes ke-890) berusia 48 tahun yang merupakan seorang doktor perubatan KKM.

“Beliau mempunyai sejarah perjalanan ke negera Turki. Beliau telah dimasukkan ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar pada 17 Mac 2020 setelah mengalami simptom Severe Acute Respiratory Infection.

“Beliau telah disahkan positif COVID-19 pada 18 Mac 2020 dan diberikan bantuan alatan pernafasan sejak 19 Mac 2020 setelah keadaan kesihatan beliau merudum. Beliau disahkan meninggal dunia pada jam 10.33 pagi, 22 Mac 2020.

Walaubagaimanapun, menurut KP KKM kematian ini bukan dari kalangan barisan hadapan mahupun daripada kalangan rakan kerja.

“Kes jangkitan COVID-19 ini disyaki bukan dari kalangan barisan hadapan (frontliners) mahupun daripada kalangan rakan kerja (working colleague) yang berhadapan dengan pesakit COVID-19.

“Ianya adalah berkait dengan sejarah perjalanan ke luar negara. Seluruh warga KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga arwah.”