“Kami tak dapat uruskan jenazah ayah” Luahan Anak Korban COVID-19 Ke-7, Paknil Kongsi Berita

Satu lagi kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan hari ini di mana melibatkan seorang lelaki berusia 57 tahun.

Menerusi perkongsian di Instagram, Datuk Aznil Hj Nawawi ataupun lebih mesra dengan panggilan Paknil telah berkongsi berita tersebut.

“Dukacita dimaklumkan sahabat #paknil Idris Bin Atan telah kembali ke Rahmatullah sekitar jam 3:30ptg tadi. Sesiapa yg mengikut siaran Live Paknil di IGTV semalam pasti tahu tentang penderitaan Allahyarham menghadapi serangan virus Covid19.

“Semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama2 para syuhadah dan keluarga beliau kuat melalui detik kesukaran ini. AlFatihah (Dibaca).

“Diharapkan followers Paknil turut mendoakan agar Allahyarham diterima sebagai mati syahid angkara wabak. Amin

“Nantikan Paknil bersiaran Live di IGTV kul 9mlm nanti untuk perincian mengenai pemergian Allahyarham.”

Menerusi laman Twitter, anak kepada mangsa yang dikenali sebagai Syahira Idris telah mengesahkan pemergian bapanya itu.

Namun begitu, Syahira tidak dapat menguruskan jenazah ayahnya kerana tidak dibenarkan keluar dari hospital.

“Assalammualaikum semua. Dengan berat hati, ayah saya Idris Bin Atan telahpun meninggal dunia. Doakan jenazah ayah dicucuri rahmat. Doktor kata ayah pergi dalam keadaan tenang sangat.

“Terima kasih yang mendoakan ayah selama ni. Hanya Allah saja yang dapat membalas jasa kalian.

“Seperti yang dimaklumkan , kami tidak dapat menguruskan jenazah ayah. Saya dan kakak tidak dibenarkan keluar hospital. Hanya doa di kejauhan. Adik akan berada di Bahagian Forensik Hospital

“Lega bila tahu ayah pergi dalam keadaan yang tenang sangat. Alhamdulillah Ya Allah. ”

 


Allahyarham merupakan kematian ketujuh COVID-19 dan disahkan oleh Ketua Pengarah KKM emnerusi perkongsian Facebook.

#COVID-19 TERKINI 21 Mac 2020 6:30PM

“Dukacita dimaklumkan bahawa sehingga kini, terdapat pertambahan empat (4) lagi kes kematian berkaitan COVID-19 yang telah dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan KKM.

“Pelaporan terbaru ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak lapan (8) sehingga kini. Pertambahan kes tersebut adalah seperti berikut:

– Kes kematian kelima adalah melibatkan seorang wanita berusia 79 tahun warganegara Malaysia yang telah dimasukkan ke Borneo Medical Centre pada 16 Mac 2020 setelah mengalami demam dan batuk selama 5 hari. Pada hari kedua, beliau mengalami kesukaran bernafas namun keluarga tidak mempersetujui beliau diberi bantuan alat pernafasan. Beliau dibawa pulang oleh keluarga pada 17 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 18 Mac 2020. Beliau mempunyai kontak dengan dua orang lagi yang disahkan positif iaitu anak lelaki dan anak perempuan beliau.

– Kes kematian keenam pula melibatkan anak perempuan kes kematian kelima. Kes ini melibatkan seorang wanita warganegara Malaysia berumur 40 tahun yang dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak pada 18 Mac 2020 setelah mengalami demam dan batuk sejak 7 Mac 2020. Beliau disahkan positif COVID pada 19 Mac 2020 dan diberi bantuan pernafasan pada hari yang sama setelah didapati keadaan kesihatan beliau semakin merosot. Beliau disahkan meninggal dunia pada jam 1.20 tengah hari pada 21 Mac 2020.

– Kes kematian ketujuh melibatkan seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 57 tahun, mempunyai sejarah perjalanan ke Vietnam dan kontak dengan kes positif COVID-19 dari kluster tabligh. Beliau dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur pada 18 Mac 2020 setelah mengalami gejala demam, batuk dan sakit tekak selama seminggu. Keadaan kesihatan beliau kemudiannya merosot sehingga memerlukan bantuan pernafasan pada keesokan harinya. Beliau disahkan meninggal dunia pada jam 3.22 petang pada 21 Mac 2020.

– Kes kematian kelapan pula adalah melibatkan seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 69 tahun daripada kluster tabligh. Beliau telah dimasukkan ke Hospital Tumpat pada 16 Mac 2020 setelah mengalami gejala demam sejak 12 Mac 2020. Beliau telah dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu pada 18 Mac 2020 setelah didapati keadaan kesihatan merosot dan kemudian memerlukan bantuan alat pernafasan pada keesokan harinya. Beliau disahkan meninggal dunia pada 21 Mac2020 pada jam 4.00 petang.

“KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka.”