Kanak-kanak 3 Tahun Dirempuh MPV, Lepas Tangan Ayah Sebelum Lari Lintas Jalan

Keselamatan jalan raya merupakan salah satu isu yang tidak asing berlaku di Malaysia. Kejadian yang tragis dan kadang kala mampu meragut nyawa ini sering diperkatakan oleh masyarakat.

Oleh hal demikian, kita hendaklah sentiasa berhati-hati dan mengamalkan keselamatan jalan raya walau di mana sahaja kita berada.

Menerusi laporan Berita Harian, seorang kanak-kanak berusia tiga tahun patah tulang selangka selepas dirempuh oleh sebuah kereta.

Berdasarkan laporan kes, kejadian berlaku kira-kira pada jam 3:30 petang di mana mangsa dirempuh oleh sebuah teksi kenderaan pelbagai guna (MPV) ketika melintas jalan di Jalan Wakaf Aik, Bahok, petang semalam.

Mohammad Naufal Zafran Abdul Fattah, mangsa kejadian turut cedera pada badannya kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohd Ismail Jamaluddin, menyatakan bahawa sebelum kejadian kereta jenis proton Exora itu dipandu oleh seorang lelaki berusia 30 tahun, dalam perjalanannya menghala ke Pengkalan Chepa selepas menghantar penumpangnya di Jeti Kuala Besut, Terengganu.

Menurut kenyataan Mohd Ismail, kanak-kanak tersebut tiba-tiba sahaja melintas pada jarak dekat yang menyebabkan dia tidak sempat untuk menekan brek lebih awal.

“Insiden itu menyebabkan pemandu teksi MPV itu mengelak ke kanan jalan, namun tetap merempuh kanak-kanak itu sebelum bertembung dengan sebuah kereta jenis Perodua Myvi.

“Mangsa yang mengalami patah tulang selangka kanan dan luka-luka pada bahagian badan dibawa ke HUSM untuk rawatan lanjut,” jelas beliau.

Beliau turut memaklumkan bahawa siasatan mendapati ketika kejadian, bapanya berada di bahu jalan memimpin tangan anaknya itu.

Namun begitu, anaknya tiba-tiba merentap tangannya dan berlari melintas jalan.

“Kedua-dua pemandu kereta tidak cedera dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” terang Mohd Ismail berhubung kejadian tersebut.

Justeru, jelas terbukti keselamatan jalan raya penting bagi mengelakkan situasi yang tidak diingini berlaku.

Oleh hal demikian, semua pihak haruslah memainkan peranan penting dalam menjaga dan mengamalkan langkah-langkah keselamatan di jalan raya.

Admin doakan semoga urusan adik Naufal dipermudahkan, dan semoga cepat sembuh.

 

Video dashcam kejadian: