“Tunggu pakcik beli aiskrim,” 6 Jam Hilang Diculik , Anak Dijumpai di Belakang Kedai

Kes culik boleh berlaku di mana-mana sahaja termasuklah kawasan rumah. Walaupun ibu bapa mahupun penjaga sudah berhati-hati namun kes seperti ini masih tetap boleh berlaku ekoran taktik cilik penjenayah.

Sama juga dengan kisah yang tular baru-baru ini dimana sepasang suami isteri trauma selepas anak sulung mereka yang berusia tujuh tahun hilang dipercayai diculik di hadapan kediaman mereka di Taman Teratai mencuri perhatian ramai.

Memetik laporan Harian Metro, ayahnya yang dikenali sebagai Mohd Khairul Nizam Shafii, 34, berkata, setiap petang anak sulungnya Nur Damia Qaleesya akan keluar bermain bersama rakan baiknya yang juga anak jiran mereka di hadapan rumah.

Difahamkan, anaknya itu sempat memaklumkan mahu bermain di rumah rakan baiknya yang terletak hanya 200 meter dari rumah mereka sebelum tragedi hitam itu berlaku.

“Menaiki kereta dipandu lelaki tidak dikenali”

Mengulas lanjut, anak kedua bagi pasangan ini Nur Rania Qaisarah, 5, pulang sambil menangis kira-kira jam 5.00 petang dan memaklumkan kakaknya menaiki kereta dipandu seorang lelaki tidak dikenali.

“Saya dan isteri, Nur Aida R Mohd Tahir, 34, panik sebelum bergegas mencari anak sulung di sekitar kawasan perumahan dan bertanya jiran, namun Damia gagal dikesan dan ditemui.”

“Saya dan isteri terus bergegas ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri bagi membuat laporan. Selepas enam jam saya membuat laporan, polis menghubungi saya memaklumkan anak sulung saya ditemui penduduk dan dihantar ke taman permainan berdekatan rumah saya, kira-kira jam 10.30 malam,” katanya ketika ditemui.”



Kes masih dalam siasatan

Ketua Polis Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar mengesahkan menerima laporan mengenai kes penculikan kanak-kanak itu.

“Bagaimanapun, kes ini masih dalam siasatan lanjut,” katanya.

Damia ditemui di belakang deretan kedai

Bagaimanapun, mereka sekeluarga bersyukur apabila anaknya ditemui selamat setelah 6 jam hilang.

“Sebaik polis memaklumkan anak sulung sudah ditemui, saya dan isteri bergegas ke taman permainan terbabit untuk bertemu Damia.

“Saya dan isteri menangis sebelum memeluk erat Damia. Tuhan saja tahu perasaan saya dan isteri ketika itu. Tiada kata-kata lain selain ucapan syukur kerana Damia selamat walaupun dia dilihat memakai pakaian berbeza berbanding ketika keluar petang semalam.

“Keadaan di taman permainan ketika itu ada beberapa orang penduduk dan polis, mereka turut membaca doa selamat.

“Selepas itu saya dan Damia di bawa ke Balai Polis Iskandar Puteri untuk diambil keterangan dan kami dibenarkan pulang selepas itu menjelang tengah malam tadi,” katanya.

Dalam pada itu, menurut individu yang menjumpai Damia iaitu Aliffi Abd Rahim, 28, dia tidak menjaga bahawa gerak hatinya untuk makan di sebuah restoran yang baru dibuka di kawasan taman perumahan akhirnya dapat menyelamatkan kanak-kanak perempuan terbabit.

Dia turut memaklumkan ada terbaca tentang kehilangan Damia yang tular di media sosial sebelum pergi ke restoren tersbut bersama abangnya, Affandi.

“Sewaktu saya lalu di laluan menuju ke restoran itu, keadaan agak sunyi namun tiba-tiba nampak kelibat seorang kanak-kanak perempuan di sebalik tembok di belakang deretan kedai di situ.

Tunggu pakcik belikan aiskrim

“Saya turun dari kereta dan melihat lebih dekat wajah kanak-kanak perempuan itu. Kelihatannya sama seperti gambar wajah kanak-kanak yang dilaporkan culik yang kisahnya tular di media sosial, yang juga jiran kami.

“Kanak-kanak perempuan itu dalam keadaan bingung sebelum beritahu nama dia Damia. Saya kemudian cuba pujuk dengan beritahu akan bawa pulang bertemu ibu bapanya apabila dia berkata sedang menunggu seorang pakcik membelikannya aiskrim. Namun, dia akhirnya ikut saya dan abang untuk dihantar pulang ke rumah,” katanya.

Aliffi berkata, beliau menyerahkan Nur Damia kepada anggota polis yang membuat kawalan di sekitar kediaman ibu bapa kanak-kanak berkenaan sebelum keterangannya turut diambil bagi membantu siasatan.

“Saya harap kejadian seumpama ini menjadi pengajaran dan tidak berulang,” katanya.