“Jangan bawa lari” Monyet Bawa Curi Loyang Bau Kek, Siap Kena Pujuk Nak Minta Balik Buat Ramai Terhibur!

Monyet ini merupakan salah satu haiwan yang banyak karenahnya, dan sinonim dengan kes-kes ‘kecurian’ barang yang kebiasaannya berlaku di kebanyakan kawasan yang berdekatan dengan hutan.

Iospital phone repair gombak

Sama seperti kisah seorang wanita ini yang tular akibat loyang yang digunakan untuk membuat kek itu telah dicuri oleh seekor monyet telah membuatkan orang ramai terhibur.

Menerusi video yang dimuat naik oleh @farrahrissaa di laman TikTok itu, kelihatan seekor monyet yang datang secara berkumpulan telah bertindak mencuri dan terus melarikan loyang ke arah sebatang pokok yang berhampiran.

“Eh loyang aku! Nak makan, makan la. Jangan bawa lari pula loyang aku,” jerit wanita itu di dalam video berkenaan.

Memetik laporan MStar, Norfarain Abdul Rahman menyatakan bahawa kejadian itu berlaku di rumah mentuanya yang bertempat di Masjid Tanah, Melaka.

Dia yang lebih dikenali sebagai Farrah Rissa itu menceritakan bahawa dia pada ketika itu sedang menyiapkan pesanan pelanggan di dapur belakang rumah.

“Masa tu beberapa kek sudah siap dibakar dan dikeluarkan daripada loyang. Saya kemudian rendamkan air dalam loyang yang dah guna untuk mudah dibasuh.

“Saya nampak sekumpulan monyet datang dekat dapur dan tengok saya buat kerja. Mereka semakin dekat sebelum salah seekornya melarikan loyang saya,” ceritanya.

Menurut Farrah Rissa, kemungkinan loyang itu dicuri kerana masih ada bau kek yang telah dibakar olehnya sebelum itu.

“Loyang tu masih ada bekas kek dan baunya yang kuat, jadi monyet pun terus ambil loyang tu. Saya pula tak sempat nak mengambilnya semula kerana ia berlaku dengan pantas.

“Saya tak nak sergah sebab bimbang monyet ambil apa-apa, sekali betul-betul jadi. Pertama kali berlaku sejak saya buat kek di rumah mentua,” jelasnya.

Dalam pada itu, kelihatan suaminya juga turut berada di kawasan kejadian.

“Monyet-monyet selalu berkeliaran di kawasan kampung termasuk rumah mentua. Tapi saya baru tinggal di sini selepas berkahwin pada Januari lalu, itu yang haiwan tu sedar ada bau kek.

“Suami dah biasa dengan monyet-monyet ni, jadi dia tak takut. Dari bawah pokok suami ‘pujuk’ monyet tu selama 10 minit sebelum loyang tersebut dilemparkan ke bawah… mungkin monyet tu takut dengan suami agaknya,” cerita Farrah sambil berjenaka.

Baginya, walaupun kejadian itu nampak lucu akan tetapi ianya masih situasi yang mencemaskan.

“Mungkin monyet-monyet tu sebelum ini hanya tengok je, tak larikan loyang pun. Selepas kejadian tu, saya lebih berhati-hati simpan segala peralatan.

“Mujur saya memang simpan semua kek yang dah siap dibakar di tempat yang selamat bertutup. Kalau tidak, kek itulah yang dicurinya,” terangnya lagi.

Video TikTok yang tular:

@farrahrissaa

korg hati2 order cake dgn sy, takut org lain yg ambil order 😂😂😂

♬ Funny Song – Cavendish Music